Tak sangka kemalangan kedua ragut nyawa anak

Norhayati ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Sungai Buloh petang tadi.
Norhayati ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Sungai Buloh petang tadi.
A
A
A

SUNGAI BULOH – Ibu kepada mangsa kemalangan maut membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Lebuhraya Utara Selatan tengah hari tadi tidak menyangka kejadian itu akhirnya meragut nyawa anak lelakinya yang belum pun sembuh sepenuhnya selepas terlibat kemalangan lebih sebulan lalu.

Norhayati Abdul Wahab,58, berkata, arwah Mohd Azrul Kasim, 35 yang merupakan anak ketiga dari empat beradik itu meninggal dunia bersama isterinya Noor Hafisah Sharibun, 35 dan seorang cucunya yang berusia dua tahun akibat kemalangan tersebut ketika dalam perjalanan balik kampung di Trolak.

"Dia tidak pernah beritahu mahu pulang ke Trolak (kampung) hari ini. Saya terkejut apabila diberitahu dia terbabit kemalangan. Saya bergegas ke hospital dan mendapat tahu Azrul, menantu dan cucu saya sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Sungai Buloh petang tadi.

Difahamkan arwah Mohd Azrul baru sahaja hampir sembuh daripada kecederaan akibat kemalangan motosikal ketika pulang dari tempat kerja pada 7 Disember tahun lalu.

Menurut Norhayati, dalam kemalangan pertama itu motosikal yang ditunggang oleh arwah Mohd Azrul telah dilanggar anjing liar menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh.

“Beberapa hari lepas dia ada hubungi mak cik dan menceritakan mengenai keadaan dirinya yang sudah hampir sembuh. Tak sangka itu adalah kali terakhir mak cik bercakap dengan dia,” katanya.

Sementara itu abang mangsa Zulhazmi Kasim,38, berkata arwah ada berjumpa dengannya dua hari lepas ketika di pejabat.

“Saya dengan dia kerja satu pejabat. Kami berbual macam biasa mengenai keadaan dia selepas buat pemeriksaan doktor. Arwah diberikan cuti sakit tambahan supaya dia rehat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga sekeluarga maut kereta rempuh belakang treler

Sementara itu, sepupu Mohd Azrul yang juga rakan sekerja arwah, Amin Arshad, 43, berkata, kali terakhir dia bertemu Mohd Azrul ketika arwah datang ke pejabat di Klang, kelmarin, untuk menghantar surat cuti dan beberapa dokumen lain.

Katanya, arwah sepatutnya mula bekerja semalam tetapi diberi tambahan cuti sakit oleh doktor kerana belum pulih sepenuhnya akibat kemalangan bulan lalu.

“Arwah kelihatan lemah dan ada mengadu sakit dada. Arwah beritahu saya dia akan cuti lama,” katanya yang menyifatkan kehilangan arwah amat dirasai kerana mereka sangat rapat dan sama sama minat memancing.

Dalam kemalangan tengah hari tadi, tiga orang termasuk seorang bayi lelaki maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Km 457.9 Lebuhraya Utara Selatan, Sierramas di Sungai Buloh.

Dua lagi cedera dalam nahas melibatkan kereta jenis Proton Persona yang dipercayai melanggar belakang sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan itu.