Kes jenayah libatkan pemegang saham tak jejaskan PBAHB

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Kes jenayah melibatkan salah seorang pemilik saham Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBAHB) tidak menjejaskan kedudukan dan operasi syarikat tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAHB, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, individu berkenaan bukan pemegang saham utama walaupun disenaraikan sebagai pemegang saham kelima terbesar di syarikat tersebut.

Menurutnya, sehingga 31 Disember tahun lalu, individu tersebut hanya memegang 1.85 peratus daripada jumlah pegangan saham PBAHB.

"Pemegang saham terbesar PBAHB adalah Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 55 peratus dari jumlah pegangan saham dan saham emas. Manakala pemegang saham kedua terbesar adalah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dengan 10 peratus.

"Pemegang saham ketiga adalah Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad dengan 4.1 peratus dan yang keempat adalah Credit Suisse dengan 1.96 peratus," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga CEO Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berkata, individu tersebut bukan pengarah PBAHB atau anak syarikatnya termasuk PBAPP.

"Beliau juga tidak mewakili Ahli Lembaga selain tidak terlibat dengan pengurusan PBAHB dan PBAPP. Selain itu, beliau tidak dianggap sebagai pemegang saham utama kerana pegangan sahamnya kurang daripada 5 peratus daripada jumlah pegangan saham PBAHB.

"Oleh demikian, kes melibatkan individu tersebut tidak menjejaskan kedudukan dan operasi harian PBAHB dan PBAPP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, lapan lelaki termasuk seorang pemegang saham PBAHB didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan mengedar 4.98 kilogram methamphetamine awal bulan ini.

Individu berusia 51 tahun itu didakwa mengedar dadah tersebut bersebelahan satu daripada gudang syarikatnya pada jam 10.30 pagi pada 16 Januari lalu.