Bekas pengarah didakwa salah guna wang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan salah guna wang berjumlah RM14,400 milik Yayasan Seni Berdaftar.

Mohd Zaid Ambak Khalid, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Aina Azahra Arifin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh yang ketika kejadian bertugas sebagai pengurus YSB Square Sdn Bhd dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang tunai berjumlah RM14,400 milik Yayasan Seni Berdaftar di sebuah pejabat di Jalan Ritchie Ampang Hilir di sini, antara 6 Mei dan 8 Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan yang rendah dengan alasan dia kini tidak mempunyai pekerjaan tetap serta mempunyai seorang isteri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: