Malaysia-Brunei tekad tingkatkan kerjasama dua hala - PM

Anwar (kanan) hari ini menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Seri Perdana pada Ahad. - Foto: Bernama
Anwar (kanan) hari ini menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Seri Perdana pada Ahad. - Foto: Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei berada pada tahap terbaik ketika ini.

Beliau berkata, lawatan rasmi Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia merupakan isyarat penting kepada negara bahawa seluruh pimpinan Brunei tekad untuk meningkatkan kerjasama dua hala.

"Kehadiran Putera Mahkota Brunei menunjukkan bahawa seluruh kekuatan dan kepimpinan Brunei bersama dan tekad meningkatkan kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menjadi hos majlis makan tengah hari sempena kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, di sini hari ini.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu, termasuk memperkukuh hubungan dua hala antaranya bidang pertahanan, latihan, industri, teknologi, agama Islam, kebudayaan dan bahasa Melayu yang akan memberi manfaat dan peluang kepada rakyat di kedua-dua negara.

Menurut Anwar, beliau dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sebelum ini telah mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Brunei.

Pada 20 Julai lepas, Sultan Hassanal Bolkiah bersama Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan berangkat ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana pada jam 11.25 pagi tadi.

Keberangkatan tiba baginda bersama isteri, Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah turut disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Baginda dalam lawatan rasmi lima hari ke Malaysia bermula 17 Ogos hingga 21 Ogos ini.
Artikel Berkaitan:


Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak AS$2.04 bilion (RM9.31 bilion). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!