Pembantu taska ditipu scammer rugi RM21,000

Polis Diraja Malaysia
Polis Diraja Malaysia
A
A
A

MARANG - Seorang pembantu taska 'berputih mata' untuk membeli telefon pintar jenis iPhone X 256GB yang diiklan dengan harga murah di Instagram, apabila ditipu sehingga RM21,000.

Kejadian bermula apabila wanita berusia 27 tahun itu berminat membeli telefon berkenaan yang ditawarkan pada harga RM900 selepas melihat iklan diletakkan dalam laman sosial itu, pada 11 Januari lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali berkata, mangsa dari Kampung Pelong, di sini kemudian berurusan dengan seorang lelaki warga Indonesia menggunakan nama 'Randi' melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas menyatakan persetujuan untuk membeli iPhone X itu, mangsa diminta membayar RM900 untuk harga telefon dan RM100 bagi kos penghantaran.

"Hari yang sama, mangsa terus memindahkan RM1,000 ke dalam akaun diberikan, namun suspek meminta wang RM1,500 lagi kononnya sebagai deposit menciptakan 'ID kad member' dan ansuran Kastam.

"Dalam masa sama, suspek meminta nombor akaun bank mangsa kononnya wang berkenaan akan dikembalikan semula sebelum mangsa memindahkan sekali lagi jumlah wang diminta ke dalam akaun bank sama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hamdan berkata, sejurus wang tersebut dimasukkan, suspek memaklumkan yang berlaku 'invalid account' sebelum sekali lagi meminta mangsa memasukkan wang RM2,500.

"Keesokan harinya iaitu pada 12 Januari lalu, mangsa memindahkan wang diminta ke dalam akaun yang berbeza dengan sebelum ini tetapi suspek masih meminta dimasukkan lagi RM2,500 atas alasan masih berlaku 'invalid account'.

Artikel Berkaitan:

"Tanpa sebarang syak, keesokan harinya (13 Januari), mangsa memindahkan wang berkenaan ke dalam akaun bank yang lain diberi suspek tetapi tetap diberitahu berlaku masalah sama," katanya.

Jelas Hamdan, suspek memaklumkan bagi menyelesaikan masalah ini, mangsa perlu memasukkan RM3,500 sebelum memberi nombor akaun bank yang lain.

"Mangsa yang masih tidak syak apa-apa hanya mengikut arahan diberikan tetapi selepas memindahkan wang itu, dia diberitahu masalah masih tidak dapat diselesaikan kerana terlewat membuat pindahan wang.

"Suspek memaklumkan mangsa perlu memasukkan RM10,000 sekaligus untuk mendapatkan semula wang yang dipindahkan ke dalam akaun-akaun diberikan sebelum ini," katanya.

Hamdan berkata, bagaimanapun, mangsa mula merasa dirinya tertipu selepas memasukkan wang RM10,000 ke dalam akaun diberikan kerana suspek masih meminta lagi dimasukkan RM20,000, pada Ahad lalu.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.