Kesedar perjelas status RPT, RKT dan Projek Agropolitan Kelantan Selatan

Kesedar memberikan sepenuh komitmen membantu peserta. - Gambar hiasan
Kesedar memberikan sepenuh komitmen membantu peserta. - Gambar hiasan
A
A
A
GUA MUSANG - Pelbagai tohmahan dan kekeliruan telah ditimbulkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab daripada pimpinan parti politik telah mencetuskan polemik serta menjejaskan imej Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Ia melibatkan status tanah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT), Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dan Projek Agropolitan Kelantan Selatan.

Pengerusi Kesedar, Datuk Zawawi Othman berkata, RPT merupakan salah satu program penyusunan semula masyarakat yang telah ada sebelum agensi itu ditubuhkan.

“la diserahkan kepada kami (Kesedar) oleh kerajaan negeri pada waktu tersebut bagi meneruskan pembangunan infrastruktur asas dan awam di kawasan Kelantan Selatan.

“Penduduk di RPT ketika itu diberikan lot rumah, rumah, kebun dan dusun manakala urusan pemilikan tanah perlu dilakukan sendiri oleh peneroka RPT di Pejabat Tanah dan Jajahan dengan hanya mendapatkan perakuan dan sokongan daripada Kesedar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, sehingga hari ini, Kesedar tidak pernah membuat sebarang permohonan milik tanah bagi pihak peneroka RPT.

Ujarnya, terdapat 24 kawasan RPT di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli. Beliau memberitahu, antara kawasan RPT di Gua Musang adalah RPT Limau Kasturi, Sungai Terah, Temalir, Mengkebang (Kuala Krai); Peralla (Tanah Merah) dan Pasir Dusun (Jeli).

Manakala RKT pula merupakan salah satu program pembangunan utama Kesedar sejak awal penubuhan lagi.

“Kesedar mempunyai sembilan kawasan RKT iaitu RKT Paloh 1, Paloh 2, Paloh 3, Chalil, Lebir, Sungai Asap, Renok Baru, Jeram Tekoh dan Meranto.
Artikel Berkaitan:


“Kesemua kawasan RKT ini berada di Gua Musang dengan didiami lebih 2,200 bilangan peneroka. Berbeza dengan RPT, sebahagian besar tanah-tanah di kawasan RKT adalah hak milik Kesedar yang akan dipindah milik kepada peneroka selepas kesemua tatacara dan prosedur pertukaran hak milik dilaksanakan,” katanya.

Bagaimanapun menurut beliau, proses berkenaan memakan masa sebagaimana prosedur pemilikan tanah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sendiri.

Menurut Zawawi, walaupun begitu Kesedar sentiasa komited dalam menyempurnakan urusan secara berperingkat dan pemilikan lot ladang ini di dalam fasa akhir sebelum diserahkan kepada peneroka dalam jangka waktu terdekat.

Pembahagian lot tanah

Zawawi menjelaskan Kesedar sentiasa membantu dan memastikan peserta terbela.
Zawawi menjelaskan Kesedar sentiasa membantu dan memastikan peserta terbela.



Zawawi memberitahu, selain RPT dan RKT, Projek Agropolitan Kelantan Selatan juga turut menjadi bahan kempen pihak yang tidak bertanggungjawab sepanjang PRK ini.

“Projek Agropolitan Kelantan Selatan mula diperkenalkan pada 2010 yang mana ia merupakan projek Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan dibina di atas tanah milik Kesedar.

“la bertujuan untuk membantu 585 peserta dalam meningkatkan pendapatan terutamanya golongan miskin tegar sekali gus menyediakan kediaman yang lebih selesa dan teratur.

“Setelah berakhirnya tempoh projek pada 31 Disember 2021, projek ini telah diserahkan kepada Kesedar untuk diuruskan sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, bermula dari tarikh tersebut, Kesedar telah memulakan proses pembahagian lot rumah kepada bekas peserta, ini termasuk penyediaan pelan susun atur kawasan perumahan yang terkini, pecah sempadan dan sebagainya.

Ujarnya, proses ini juga memakan masa yang panjang kerana terpaksa melalui tatacara dan undang-undang tanah negeri Kelantan.

“Sekali lagi, Kesedar sentiasa berusaha dalam memperjuangkan nasib bekas peserta dan proses pemberian lot rumah kepada mereka (bekas peserta) dijangka akan selesai pada hujung tahun 2025.

“Saya ingin menyeru kepada semua pihak yang sedang rancak berkempen untuk tidak menjadikan Kesedar sebagai modal bahan kempen dengan melakukan tuduhan melulu dan tidak berasas.

“Tindakan ini bukan sahaja mencemarkan imej Kesedar sebagai sebuah agensi peneraju pembangunan Kelantan Selatan, tetapi memberi impak kepada rakyat di kawasan ini umumnya,” katanya.

Peneroka Kesedar raih pendapatan cecah RM5,000 sebulan

Sementara itu, beberapa peneroka Kesedar menegaskan isu pemilikan tanah bukanlah perkara utama kerana lebih penting pendapatan lumayan mencecah RM5,000 sebulan yang berjaya diraih mereka hasil ladang kelapa sawit.

Peneroka RKT Meranto, Mohamed Khalid Sulaiman berkata, pendapatan itu diperoleh apabila Kesedar menyerahkan ladang kelapa sawit untuk diuruskan sendiri semua 98 peneroka di kawasannya pada November tahun lalu.

“Sebelum ini ladang kelapa sawit kami diuruskan Kesedar dan kami dapat duit sara hidup daripada agensi Kerajaan Pusat ini sebanyak RM1,000 sebulan. Bermula tahun lepas, kami diberi peluang untuk uruskan sendiri ladang.

“Ada yang berjaya peroleh pendapatan hingga RM7,000 sebulan dan selepas ditolak dengan perbelanjaan membeli baja, racun dan sebagainya pendapatan bersih dianggarkan RM5,000.

“Peneroka tidak terlalu memberikan tekanan kepada Kesedar untuk mendapatkan geran hak milik kerana memahami tatacara pengurusan tanah negeri yang amat rumit seiring dengan karenah birokrasi dari kerajaan negeri yang jelas berbeza dari kerajaan pusat.

“Masyarakat Kelantan Selatan dan peneroka-peneroka khususnya amat jelas bahawa Kesedar sentiasa berusaha membantu dan membawa pembangunan fizikal, ekonomi dan rohani kepada masyarakat. Jasa yang telah ditaburkan selama lebih 40 tahun ini amat besar dan bermakna,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamed Khalid berkata, peningkatan pendapatan itu juga mengubah taraf hidup peneroka kerana kini hidup dalam keadaan selesa dan senang serta boleh menambah kenderaan untuk memungut buah kelapa sawit.

Katanya, Kerajaan Persekutuan melalui Kesedar juga turut menghapus kira hutang pembangunan ladang dan perumahan peneroka di kawasan RPT dan RKT termasuk penempatan Kampung Tradisional dengan nilaian sebanyak RM133.8 juta pada tahun 2012 melibatkan semua peneroka RPT dan RKT yang berjumlah hampir 10,000 orang.

Sementara itu, peneroka RKT Jeram Tekoh, Fakri Mohamed berkata, pihak pengurusan Kesedar ketika ini sedang berusaha menyelesaikan penyerahan hak milik kepada seramai 349 peneroka di kawasan tersebut.

“Sebahagian besar geran individu telah ada dan proses menukar nama kepada peneroka akan dilaksanakan oleh Kesedar berdasarkan tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan. Proses pecah lot ini dibuat bermula 2014 dan dilakukan secara berperingkat,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!