Imam didakwa perdaya urusan sijil nikah

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang imam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang pengurus syarikat untuk mendapatkan sijil nikah yang sah dengan bayaran mencecah RM3,800.

Tertuduh, Mohd Mustakim Ithnin, 36, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu lelaki berusia 40 itu untuk mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan sijil nikah Malaysia sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM2,500 menerusi serahan tangan manakala RM1,300 ke akaun bank tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu jika tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jalan Ipoh, Sentul di sini pada 7 hingga 18 Oktober tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar diberi jaminan yang rendah kerana perlu menyara dua anak dan isteri yang bekerja sebagai pembantu taska.

Mahkamah menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Artikel Berkaitan: