X

Kindly register in order to view this article
!

KAFA hampir selesaikan tunggakan gaji

Husin Deraman
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) yakin mampu menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain sebelum tempoh akhir yang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Jumaat ini.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, badan induk bola sepak negeri itu sedang berada pada fasa terakhir untuk melunaskan gaji tertunggak pemain melalui penjadualan pembayaran yang telah ditetapkan.

"Kita baru sahaja habis mesyuarat semalam (kelmarin) dan kita tengah atur kaedah pemain mana yang akan dipanggil dahulu untuk dibuat pembayaran.

"Setakat ini, semua pemain telah setuju dengan penjadualan pembayaran yang kita buat dan mereka hanya menunggu pembayaran dilakukan KAFA. Dalam dua atau tiga hari ini akan selesai semuanya," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, FAM memberikan amaran akhir kepada Melaka United, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kelantan supaya menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai selewat-lewatnya Jumaat ini bagi mengelakkan pemotongan mata dan disingkirkan daripada Liga-M.

Menurut Husin, pihaknya akan memanggil pemain dalam masa terdekat untuk menyelesaikan pembayaran gaji itu sebelum menghantar dokumen bukti pembayaran tersebut kepada FAM.

"Semua pemain yang menghadapi masalah tunggakan gaji itu perlu tandatangan dahulu dokumen tersebut sebelum kami boleh hantar kepada FAM.

"Setakat ini, saya boleh sahkan tiada masalah di pihak KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebelum Jumaat ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus