Amaran lebih adil, bukannya penyingkiran Azizulhasni
BEKAS Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan situasi menimpa Datuk Azizulhasni Awang dalam acara keirin lelaki di Sukan Olimpik Paris adalah satu kesilapan, namun menegaskan jaguh berbasikal trek negara itu lebih 'layak' diberikan amaran berbanding disingkirkan daripada acara tersebut.
Pada saringan awal di Velodrom Saint Quentin itu, Azizulhasni yang menjadi harapan untuk mengungguli acara kegemarannya dan sekali gus membutirkan pingat emas pertama negara di Olimpik, dibatalkan penyertaannya selepas dia mendahului derny atau pacer.
Menurut Khairy, jika insiden Olimpik Rio 2016 diambil kira, Azizulhasni sepatutnya masih berada di atas trek dan dibenarkan untuk meneruskan pertandingan.
Menerusi hantaran di Instastory miliknya, Khairy berkata semasa aksi final keirin Rio 2016, dua kali perlumbaan dimulakan semula selepas beberapa pelumba memintas derny.
Katanya, kesilapan pertama dilakukan bekas pelumba Great Britain, Jason Kenny dan Azizulhasni sebelum Joachim Eilers dari Jerman turut didapati melakukan kesilapan sama.
"Kesemua mereka didapati memotong derny. Saya masih ingat kerana saya berada di pit velodrom bersama pengurus pasukan, Amarjit Singh dan jurulatih, John Beasley.
"Ketiga-tiga negara membuat rayuan supaya tidak dibatalkan penyertaan dan saya masih ingat memberitahu Amarjit: "Kita bernasib baik Azizul bukan satu-satunya yang memotong derny dan seorang pelumba British serta seorang pelumba Jerman juga dinilai telah melakukan kesalahan sama."
Tambah Khairy, semasa perlumbaan itu, hakim tidak berani membatalkan penyertaan pelumba Barat dan kesemua mereka termasuk Azizulhasni hanya diberikan amaran.
Aksi final keirin lelaki di Olimpik Rio 2016 menyaksikan Kenney merangkul emas dan Azizulhasni meraih gangsa.
"Apa yang berlaku malam ini (lewat malam Sabtu) adalah satu kesilapan.
"Namun terdapat duluan yang jelas bahawa amaran boleh diberikan berbanding membatalkan penyertaan," katanya.
Selepas penyingkiran Azizulhasni, perjuangan negara dalam acara keirin diteruskan Mohd Shah Firdaus Sahrom yang telah mengesahkan slot ke pusingan suku akhir.
Pusingan suku akhir berlangsung petang ini (jam 5.29 petang waktu Malaysia).