Wan Ahmad Fayhsal sedia bela diri jika dipanggil

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GUA MUSANG - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sedia membela diri jika dipanggil terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebelum beliau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan tersebut membolehkan beliau membela diri selepas membuat pendedahan yang dibuat di Dewan Rakyat bukan surat layang sebagaimana didakwa.

"Mereka kata saya bawa surat layang, apa yang saya kata dalam Parlimen. Saya boleh bela diri dalam Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya dipanggil untuk mempertahankan diri.

"Kandungan surat yang didedahkan itu bukan fitnah sebaliknya aduan dalaman kakitangan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang tidak mahu bersubahat dengan penjualan saham MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) kepada syarikat BlackRock," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di Unit Daerah Mengundi (UDM) Perasu dekat sini pada Sabtu malam.

Menurutnya, tindakan penggantungan itu bertujuan menyekatnya daripada mendedahkan lebih banyak maklumat di Dewan Rakyat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal digantung susulan tindakan Ahli Parlimen Machang itu membangkitkan isu sepucuk surat layang di Dewan Rakyat, kononnya dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.

Keputusan itu dibuat selepas usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal daripada Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa Pilihan mendapat sokongan 110 ahli Parlimen, manakala 63 tidak bersetuju menerusi undi belah bahagian, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

Pada Februari lepas, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan hampir digantung selama enam bulan akibat memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai korup dan salah guna kuasa tanpa bukti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!