Cuepacs gesa lantik jurucakap kerajaan

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan kerajaan melantik seorang jurucakap yang berperanan menyelaras dan memaklumkan semua maklumat daripada kerajaan kepada rakyat bagi menangani isu percanggahan maklumat yang tular di media sosial.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pelantikan jurucakap itu amat penting kerana sejak akhir-akhir ini pihaknya melihat apabila berlaku sesuatu krisis dalam negara, isu utama yang menimbulkan permasalahan adalah kuasa tular yang telah mengganggu proses penyaluran data sebenar oleh kerajaan kepada rakyat.

Menurutnya, situasi bertambah buruk disebabkan banyak pihak saling berkaitan memberikan kenyataan yang seolah-olah bercanggah antara satu sama lain.

Katanya, pendedahan terlalu banyak maklumat yang boleh diakses di hujung jari juga boleh membawa kepada isu lain seperti keselamatan, kewangan dan ekonomi, rasa panik atau ketidaktenteraman dalam kalangan rakyat serta boleh menimbulkan pelbagai permasalahan lain.

"Persoalannya, adakah ia maklumat yang tepat dan benar atau sekadar andaian tanpa fakta yang sengaja didedahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab?

"Maklumat tular yang palsu tidak akan mampu disekat walaupun dengan mengenakan hukuman berat kepada pelakunya.

"Biarpun pelakunya ditangkap dan dihukum, namun kesan buruk maklumat tidak benar itu telah meracuni pemikiran rakyat dalam masa yang singkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebar laporan palsu dan membangkitkan kegusaran masyarakat berhubung isu wabak koronavirus.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, dengan adanya jurucakap ini, segala keputusan Kabinet atau kenyataan media oleh kementerian atau menteri juga hanya boleh diumumkan oleh jurucakap yang dipertanggungjawabkan.

"Ia bagi mengelakkan berlakunya percanggahan fakta dan data yang diberikan disalah petik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Peranan jurucakap kerajaan juga penting dalam usaha kerajaan menangani krisis atau sebarang bencana pada masa kini dan akan datang," katanya.