Acara besar masih boleh dianjurkan, kata TPM

Wan Azizah ketika sidang media selepas melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan mengenai 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Wan Azizah ketika sidang media selepas melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan mengenai 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata acara besar masih boleh dianjurkan di negara ini di sebalik usaha kerajaan mengekang jangkitan wabak koronavirus.

Beliau berkata, sebarang halangan bagi penganjuran acara seumpama itu hanya akan dibuat berdasarkan perkembangan semasa koronavirus serta saranan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Wan Azizah berkata demikian kepada media selepas diberi taklimat perkembangan terkini mengenai jangkitan koronavirus di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

"Kita tengok perkembangan, jika WHO kata tidak boleh, kita akan keluarkan kenyataan lanjut mengenai hal itu," katanya ketika mengulas mengenai penganjuran acara besar dalam situasi Malaysia berusaha mengekang jangkitan koronavirus.

Penganjuran acara besar itu antara perkara yang dipersetujui mesyuarat antara agensi di KKM hari ini yang dihadiri pengurusan tertinggi beberapa kementerian dan jabatan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam aktiviti kawalan dan pencegahan jangkitan koronavirus.

Antara kementerian dan jabatan yang menghadiri mesyuarat itu ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Jabatan Laut, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Beliau berkata saringan kemasukan pengembara dari China telah diperketat dengan mewujudkan laluan khas di pintu masuk negara.

Selain itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh visa perjalanan bagi pengunjung warganegara China yang telah berada di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai jangkitan koronavirus dengan tujuh kes positif disahkan di Malaysia setakat ini, semuanya melibatkan warganegara China. -Bernama