Dua lelaki pecah rumah, curi kenderaan ditahan

Arifai Tarawe
Arifai Tarawe
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menahan dua lelaki yang terlibat kes pecah rumah dan curi kenderaan dalam satu serbuan yang dijalankan di Jalan Medan Selayang 1, Batu Caves awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejayaan tangkapan itu merupakan hasil pemerhatian yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek yang menaiki kereta secara berasingan.

Beliau berkata, selepas 15 minit melakukan pemantauan, polis kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut.

"Berlaku pergelutan apabila suspek warga Myanmar yang memandu kereta jenis Perodua Viva melarikan diri dan menyerang anggota penguat kuasa.

"Seorang lagi suspek warga India yang memandu kereta jenis Perodua Myvi turut bertindak melarikan diri ke arah Prima Selayang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan pantas anggota terlibat berjaya menahan kedua-dua suspek.

Beliau berkata, dua kenderaan yang dipandu mereka turut dirampas.

"Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Arifai berkata, penahanan suspek berkenaan adalah susulan daripada laporan yang diterima pihaknya berhubung kejadian pecah rumah yang berlaku di sekitar Taman Sri Selayang.

Difahamkan, pengadu terlibat telah membuat laporan polis selepas kediamannya dipecah masuk dan beberapa barangan turut hilang.