'Lebih bagus Amanah bantu calon UMNO di PRK Mahkota' - Ahmad Maslan

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih bagus Parti Amanah Negara (Amanah) membantu calon UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota berbanding menuntut kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia kerana Amanah kalah di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.

"Kita sudah ada persefahaman. Siapa yang menang tempat itu, mereka akan bertanding. Itu jelas.

"Amanah bertanding pada PRN lalu (di DUN Mahkota) tapi UMNO dapat 16,000 undi, Amanah pula peroleh 11,000 undi. Itu faktanya.

"Jadi kalau jumlah undi dicampur, banyak ribu undi boleh (kita) menang. Saya ada keyakinan untuk menang," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja projek pembinaan jalan baharu di Kampung Bertam Lama di sini pada Isnin.

Sebelum ini Amanah dilaporkan mendesak pucuk pimpinan Pakatan Harapan dan BN agar calon mereka bertanding dalam PRK DUN Mahkota.

Sementara itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, UMNO tidak melarang DAP dan MCA sebagai parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk membantu kempen PRK DUN Nenggiri.

Bagaimanapun, keperluan kedua-dua parti tersebut untuk datang membantu agak rendah memandangkan jumlah pengundi Cina di DUN itu hanya kira-kira 35 orang.

Artikel Berkaitan:

"Setahu saya cuma ada 35 orang Cina di tempat ini. Kalau berkempen, ada segmen (kawasan) untuk parti-parti contohnya UMNO di situ, Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini dan DAP di kawasan Cina.

Tapi Cina tidak berapa ramai di sini. "Begitu juga dengan MCA. Kalau mereka nak datang, silakan. Tapi saya nak sebut (sejumlah) itu sahaja bilangan yang ada," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!