Pemuda UMNO tempelak Amanah mahu tanding PRK DUN Mahkota

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Noor Azleen (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Noor Azleen (kanan).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menyifatkan tuntutan dibuat Parti Amanah Negara (Amanah) untuk diberikan laluan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kelak, sebagai gelojoh dan tamak.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baru meninggal dunia.

Katanya, sikap gelojoh dan tamak pimpinan Amanah Kluang hanya menzahirkan kiblat kuasa, tanpa meletakkan sempadan nilai simpati dalam amalan berpolitik.

"Seharusnya pimpinan Amanah menunjukkan contoh dengan menghormati sensitiviti keluarga dan waris Allahyarham dengan tidak secara terbuka membuat desakan secara tergopoh-gapah.

"Sikap sebegini bukanlah nilai-nilai yang wajar untuk disemai dalam kalangan rakan-rakan, dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan semua parti yang sama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Keutamaan untuk memanfaatkan platform dalaman secara bermusyawarah adalah lebih afdal dan kesepakatan semua pimpinan di setiap peringkat Kerajaan Perpaduan seharusnya menjadi asas dalam usaha kita sama-sama mendapat kepercayaan dan keyakinan seluruh rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, Amanah Kluang mengadakan sidang akhbar mendesak supaya pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) agar parti itu diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, tuntutan itu dibuat berikutan Amanah pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN), pada 2022.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Zuhan lagi, kenyataan terbuka UMNO Bahagian Kluang yang menyatakan secara terbuka tidak mahu bekerjasama dengan satu daripada komponen PH baru-baru ini juga sangat mengguris hati akar umbi.

Pada PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN menang kerusi DUN Mahkota dengan 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Taqiuddin Cheman daripada Amanah, yang memperoleh 11,445 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Nor Lingan pula meraih 7,614 undi manakala calon Warisan, Mohamed Noor Suleiman mendapat 555 undi.

Pada PRU14 pula, calon Amanah yang menggunakan logo PKR, Muhammad Said Jonit menang kerusi DUN Mahkota dengan meraih 19,507 undi dan mendapat majoriti 1,668.

Muhammad Said menewaskan calon BN, Datuk Jais Sarday yang meraih 17,839 undi dan calon PAS, Hasbullah Najib yang mendapat 3,092 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!