'Syukur saya bebas wabak koronavirus'

Ika Mustafa ketika dikuarantin di hospital.- Foto: Instagram
Ika Mustafa ketika dikuarantin di hospital.- Foto: Instagram
A
A
A

TIADA apa yang menggembirakan penyanyi baharu, Ika Mustafa selain daripada menerima khabar dia bebas daripada wabak koronavirus.

Kesyukuran dipanjatkan Ika kepada ALLAH kerana ujian darah yang dibuat mendapati dia tidak dijangkiti virus dari Wuhan, China itu.

Menerusi Astro Awani, Ika berkata, pengalaman dikuarantin selama tiga hari tidak akan dilupakannya.

"Alhamdulillah keputusan adalah negatif. Saya bersyukur dan berasa lega sangat. Saya bebas daripada jangkitan virus berkenaan.

"Tiga hari saya terkurung dengan keadaan sana dah macam dalam filem," katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Damaikanlah itu turut berpesan kepada semua pihak supaya tidak melancong ke luar negara dalam masa terdekat ini.

"Peringatan saya buat masa ni tak payah la pergi melancong.

"Kita tidak tahu keadaan orang di sekeliling kita. Lebih baik elakkan diri daripada berkunjung ke tempat yang sesak.

Artikel Berkaitan:

"Jangan ambik risiko. Nanti dah kena kuarantin baru menyesal," kata Ika lagi.

Dalam pada itu, Ika atau nama sebenarnya Nursyafiqah Mustafa mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang menjaganya sepanjang kuarantin.

"Saya perasan jururawat berbeza ditugaskan untuk memantau saya.

"Saya juga kagum dengan tahap keselamatan yang diambil doktor dan jururawat.

"Setiap kali berjumpa dan membuat pemeriksaan, mereka menukar persalinan baharu sebelum berjumpa pesakit lain.

"Saya nak berterima kasih kepada semua pegawai perubatan yang mengambil risiko dan bertungkus lumus menjaga saya sepanjang tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB) ini," katanya lagi.

Pada 25 Januari lalu, Ika ke Haikou, China atas urusan kerja dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ika bagaimanapun terpaksa dirujuk ke HSB untuk dikuarantin selepas mengalami demam, batuk dan selesema kerana dipercayai pesawat tersebut turut dinaiki warga emas dari Wuhan yang berada dalam keadaan tidak sihat.