Habuan wang tunai lebih sejuta ringgit menanti Yulo
PEMENANG pingat emas kedua dalam sejarah penyertaan Filipina di Olimpik, Carlos Edriel Yulo bakal menerima habuan wang tunai berjumlah 10 juta peso (sekitar RM776,368) daripada pemerintah.
Gimnas berusia 24 tahun itu juga akan dianugerahkan Pingat Emas Keberanian Olimpik daripada Suruhanjaya Sukan Filipina (PSC).
Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Filipina (POC) turut berjanji untuk memberikan pemenang pingat emas sebuah rumah dan lot tanah, sama seperti yang mereka lakukan kepada empat pemenang pingat di Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu.
Sebuah syarikat pemaju hartanah juga berjanji untuk memberikan unit kondominium kepada mana-ana atlet Filipina yang memenangi pingat emas.
Menurut laporan GMA News, Dewan Perwakilan pada Sabtu mengumumkan akan memberikan ganjaran sebanyak 3 juta peso (RM232,910) kepada Yulo atas kejayaannya di Olimpik Paris.
Yulo mempamerkan aksi cemerlang dalam acara senaman lantai lelaki akhir Paris 2024 apabila meraih 15,000 mata, mengatasi juara Tokyo 2020, Artem Dolgopyat dari Israel dengan hanya 0.034 mata.
Lebih banyak ganjaran mungkin menanti Yulo seperti yang berlaku kepada pemenang pingat emas pertama negara itu, Hidilyn Diaz, tiga tahun lalu.
Diaz menerima tambahan ganjaran daripada kerajaan dan sektor swasta selepas kemenangannya di Olimpik Tokyo 2020.
Sebagai rekod, Diaz terpaksa menjalani latihan dalam keadaan serba kekurangan di sebuah perkampungan di Melaka disebabkan pandemik Covid-19.
Dia datang ke Malaysia Februari 2020 kerana jurulatihnya, Gao Kaiwen dari China merasakan ia lebih sesuai untuknya dalam memburu kelayakan ke Tokyo.
Namun, pandemik Covid-19 menyebabkan dia tersangkut di Kuala Lumpur dan tidak dapat menjalani latihan di gimnasium akibat perintah kawalan pergerakan dan terpaksa berpindah ke Melaka.
Dia tinggal di rumah yang dimiliki bekas pegawai angkat berat Malaysia dan pada awalnya berlatih di gimnasium berhampiran, tetapi selepas larangan pergerakan diketatkan, Diaz memindahkan peralatan latihan ke tempat letak kereta di rumah berkenaan.