Terapi minda penawar tekanan

Dr Azuraida Shahadan
Dr Azuraida Shahadan
A
A
A

HAKIKATNYA, sebagai manusia kita semua tidak terlepas daripada masalah dan belenggu tekanan perasaan juga tekanan hidup.

Pengetahuan mengenai cara mengatasi tekanan hidup adalah penting tidak hanya kepada diri sendiri tetapi juga kepada individu yang disayangi.

Terapi minda adalah salah satu cara berkesan yang boleh membantu mengawal dan mengatasi tekanan perasaan.

Sebelum saya mengupas lebih lanjut eloklah kiranya untuk kita mengetahui maksud terapi minda itu sendiri. Dalam kamus perubatan, terapi disebut sebagai rawatan pemulihan.

Definisi terapi dalam kehidupan lebih kepada kaedah membantu seseorang. Minda pula merupakan akal fikiran, pandangan dan kesedaran.

Rasulullah pernah bersabda, "Terdapat empat macam yang berharga dalam diri manusia, adapun yang berharga itu malu, agama, amal soleh dan akal."

Akal atau dikenali sebagai minda merupakan sesuatu yang sangat berharga, hanya diberikan kepada hamba-NYA yang bernama manusia. Akal jugalah yang membezakan antara manusia dan makhluk ALLAH yang lain.

Akal atau minda yang lemah boleh mendatangkan banyak masalah kepada diri individu antaranya seperti tekanan perasaan, rasa marah, risau, rasa tidak tenang, gangguan perasaan dan banyak lagi. Asbab daripada itu, maka wujudlah istilah terapi minda.

Dunia yang kita duduki sememangnya memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Kadangkala, kita dihantui pelbagai masalah di tempat kerja, sekolah, rumah dan hutang.

Artikel Berkaitan:

Tekanan perasaan itu jika tidak dikawal dengan baik akan mendatangkan impak negatif. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada tekanan hidup seperti masalah kewangan, hubungan yang tidak baik sama ada dengan teman atau ahli keluarga, tidak mendapat pekerjaan, persekitaran negatif, dan lain-lain. Implikasi negatif berlaku bila kita tidak mampu mengawal tekanan ini.

Antaranya sikap kita akan mula berubah menjadi murung, panas baran, cepat marah, gelisah, rasa takut, rasa tidak berguna, hilang fokus dan sebagainya.Terdapat banyak kaedah terapi minda yang digunakan dalam perubatan, psikologi dan kebanyakan adalah berlandaskan ajaran Islam.

Mengikut kajian, minda manusia terbahagi kepada dua bahagian iaitu minda sedar dan minda separa sedar.

Terapi minda melibatkan minda separa sedar. Kerana apa? Kerana 95 peratus daripada perasaan kita dikawal oleh minda separa sedar.

Di sini saya akan kongsikan beberapa teknik terapi minda yang dikaji dalam sains dan psikologi. Teknik pertama adalah melalui solat tahajud dan berdoa selepas tahajud.

Secara saintifik, waktu solat tahajud sekitar jam 3 ke 4 pagi merupakan suatu tempoh masa aman dan tenang. Ia dikaitkan dengan keadaan badan dan minda yang tenang dan berada dalam gelombang yang dinamakan alpha.

Gelombang dari segi saintifik, ketika dalam keadaan gelombang alpha atau gelombang ketenangan, otak akan merembeskan serotonin, kontisol dan endorfin yang akan menjadikan kita tenang.

Hormon ini meningkatkan sistem tahan badan, membuka pembuluh darah dan menstabilkan denyutan jantung.

Maka, tekanan perasaan akan berlalu dengan perlahan dan otak mampu mengawal situasi tersebut.

Terdapat istilah waktu-waktu tenang yang dapat menjadi penawar tekanan perasaan. Antara waktu tenang lain adalah ketika solat dhuha, ketika membaca al-Quran dan selepas berzikir.

Waktu tenang digunakan untuk melakukan terapi minda, dengan cara 'self talk' kepada diri sendiri segala kata-kata positif dan baik.

Berdoa atau bercakap la dengan khusyuk, susulkan dengan emosi, insya-ALLAH ia mampu menjadi terapi minda yang paling berkesan menewaskan tekanan perasaan.

Secara sains telah dibuktikan mengenai kehebatan minda separa sedar yang berada dalam keadaan aplha wave atau gelombang ketenangan ini, ia mampu membantu kita mengatasi masalah tekanan hidup, gusar dan gelisah.

Jadi kepada mereka yang memerlukan terapi minda, jangan lupa untuk mencari waktu tenang di mana otak berada dalam gelombang aloha ketenangan dan sewaktu itu, doalah kepada ALLAH.

Sentiasa bersangka baik kepada yang Maha Pencipta sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui.

* Dr Azuraida Shahadan ialah pakar motivasi kepimpinan diri dan inspirator media sosial