Nikmat perkongsian rakyat Malaysia

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

MALAYSIA sebuah negara yang unik kerana rakyatnya pelbagai kaum. Ungkapan itulah yang sudah tertanam dalam minda kita sejak berpuluh tahun lamanya.

Tidak salah untuk kita terus berpegang kepada ungkapan itu kerana ia adalah keistimewaan yang ada pada negara kita.

Perpaduan menjadi kunci utama kepada kejayaan membina negara sejak merdeka dan kita sebenarnya berkongsi banyak perkara.

Kita kongsi negara, Perlembagaan, bendera, bahasa dan sebagainya. Itu adalah perkongsian asas yang dipraktikkan sejak 31 Ogos 1957.

Selain itu kita juga berkongsi raya, cuti, angpau dan duit raya. Bila perayaan, tidak kira raya Islam, Cina, Hindu atau Kristian, semua akan ambil cuti umum.

Pejabat, kedai dan syarikat semua tutup operasi bersempena cuti umum perayaan. Kita raikan cuti umum itu sebagai sebahagian daripada rasa hormat kepada rakyat Malaysia yang meraikannya mengikut anutan agama masing-masing.

Bila cuti raya Cina, orang Melayu, India atau kaum lain juga sibuk balik kampung. Bila cuti raya puasa atau haji, orang Cina, India dan kaum lain pun bercuti.

Orang Cina tidak ada masalah untuk ucapan selamat perayaan kepada rakan-rakan Islam mereka dan orang Melayu ada yang turut sambut Tahun Baru Cina kerana menghormati sahabat-sahabat Tionghua mereka.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai kaum turut mengucapkan Selamat Hari Deepavali dan Hari Natal kepada kawan masing-masing bila tiba hari perayaan itu.

Itulah keunikan yang ada pada rakyat Malaysia yang perlu terus dikekalkan dan tidak dicemari oleh rasa kebencian atau perkauman.

Rakyat Malaysia jangan terlalu naif untuk mengakui bahawa perpaduan dan keharmonian hidup semua kaum dalam negara ini adalah berpaksi kepada dua elemen utama itu.

Saling menghormati, sentiasa memahami dan selalu bertolak ansur dalam semua perkara adalah aspek penyokong kepada keteguhan negara.

Jadi sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan sayangkan negara, setiap individu mesti mengetepikan segala prasangka buruk, pemikiran negatif dan isu perpecahan supaya keamanan yang kita kecapi selama ini terus berkekalan.