Koronavirus: USIM batal program pelajar ke China, Hong Kong

USIM batal program pengantarabangsaan pelajarnya ke China dan Hong Kong.
USIM batal program pengantarabangsaan pelajarnya ke China dan Hong Kong.
A
A
A

NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membatalkan program pengantarabangsaan pelajarnya ke China dan Hong Kong berkuat kuasa serta merta sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan semula.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, keputusan itu dibuat susulan perkembangan penularan wabak novel koronavirus (2019 nCoV) yang semakin membimbangkan di China.

"Larangan ini dikuatkuasakan demi membanteras penularan penyakit dan mengurangkan risiko kepada pelajar kerana universiti sentiasa memandang serius dan memberi keutamaan terhadap sebarang isu keselamatan serta kebajikan mahasiswa.

"Program pengantarabangsaan utama pelajar yang akan terkesan secara langsung dengan langkah pembatalan ini adalah Program Global Islamic Student Outreach (GISO).

"Berdasarkan rekod Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) USIM, sebanyak 14 program GISO telah diluluskan universiti untuk dilaksanakan bermula Januari hingga Ogos depan dengan lima daripadanya pada Februari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kumpulan pelajar yang terlibat telah dimaklumkan mengenai arahan pembatalan ini oleh BHEP dan penyelarasan sedang dibuat oleh kumpulan GISO yang terkesan.

"Universiti menyedari pembatalan ini akan menimbulkan kesulitan dan perkara yang berbangkit kepada kumpulan GISO yang terlibat.

"Pengurusan universiti telah meminta BHEP untuk menyediakan satu garis panduan khusus berkaitan pembatalan ini untuk dijadikan rujukan. Keputusan ini juga adalah selari dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke China khususnya ke 13 wilayah berisiko dijangkiti wabak berbahaya berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, GISO yang diurus setia oleh BHEP merupakan program pengembaraan yang menjadi 'signature' kepada mahasiswa USIM yang telah dilaksanakan sejak 2011 dengan memfokuskan kepada aspek kesukarelawanan, pemindahan ilmu dan perkongsian budaya antara masyarakat antarabangsa di negara yang mereka lawati.