Dua maut bergaduh: Lapan ditahan termasuk seorang tentera

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris (kiri) melihat tempat kejadian semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris (kiri) melihat tempat kejadian semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Lapan lelaki termasuk seorang anggota tentera dan dua beradik ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang menyebabkan dua individu maut dalam kejadian di Batu 31, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Machang tengah malam kelmarin.

Mereka yang berusia antara 23 hingga 39 tahun itu ditahan di sekitar Machang sehingga lewat petang semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, seorang anggota tentera yang turut menjadi suspek kejadian tersebut berusia 30 tahun yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

“Kelapan-lapan mereka juga termasuk seorang suspek yang mengalami kecederaan parah dan masih dirawat di Hospital Machang kerana patah kaki kanan akibat kejadian itu.

“Pihak polis juga masih menjejaki dua lagi individu yang dipercayai terlibat sama bagi membantu siasatan kes ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua lelaki maut bergaduh

Kelmarin, dua lelaki maut selepas terbabit dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 31, Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Machang.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 39 dan 40 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

Artikel Berkaitan:

Hasanuddin berkata, siasatan awal punca pergaduhan dikatakan akibat daripada perselisihan faham membabitkan sebuah motosikal dan perbuatan khianat.

“Berdasarkan siasatan awal pergaduhan itu berlaku berkemungkinan apabila wujud ketidakpuasan hati susulan daripada kes yang dikatakan sebab satu kumpulan rampas motosikal kumpulan lain.

“Ada juga sedikit perbuatan khianat terhadap motosikal itu dan secara kebetulan mereka bertembung pada malam kejadian menyebabkan pergaduhan berlaku. Berhubung isu ketum pula saya tidak tahu menahu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga merampas sejumlah senjata tajam berupa pisau lipat, pedang dan kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

“Selain itu, dua kereta jenis Perodua Myvi turut dirampas kerana dipercayai digunakan untuk melanggar salah seorang mangsa sehingga terbunuh. Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Februari ini.

“Kami juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menyalurkan kepada Pegawai Turus D9 IPK Kelantan, Deputi Superintendan Basar Salam di talian 019-9823320 atau mana-mana balai berdekatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.