‘Ingin jadikan sukan rakyat sebagai acara tahunan sekolah’
SHAH ALAM - Karnival Rakyat Karangkraf yang mengetengahkan sukan rakyat sebagai salah satu aktiviti murid-murid telah membawa kepada perancangan pihak sekolah untuk menjadikan ia acara tahunan di sekolah.
Penolong Kanan (PK) Kokurikulum, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia, Siti Incah Alias berkata, melihat kepada semangat dan keseronokan anak murid sewaktu mengikuti acara sukan rakyat itu, beliau mahu menjadikan ia sebagai salah satu aktiviti tahunan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana membawa sukan rakyat di Karnival Rakyat Karangkraf. Ia merupakan ruang dan peluang untuk para guru mendedahkan kepada murid-murid mengenai sukan tradisional.
“Saya lihat semua murid-murid begitu gembira dan bersemangat melakukan aktiviti ini. Sukan rakyat adalah perkara baharu bagi mereka. Saya boleh kategorikan acara pada hari ini sebagai satu aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah,” katanya ketika ditemui di lokasi Zon Padang Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Dalam pada itu, Siti Incah memberitahu, tujuan utama beliau mahu membawa acara tradisional itu ke sekolah kerana mahu murid-murid yang tidak aktif turut melibatkan diri.
Menurutnya, acara sukan rakyat tidak memerlukan kekuatan fizikal seperti keupayaan berlari pecut tetapi hanya perlu sikap bekerjasama dan bijak menyusun strategi.
“Seperti yang kita tahu, acara balapan memerlukan kekuatan fizikal tetapi tidak bagi sukan rakyat. Mereka hanya perlu bekerjasama. Di samping itu, murid-murid yang tidak aktif juga boleh menyertai aktiviti (sukan rakyat) ini.
“Justeru, saya mahu membawa kelainan dan kesegaran dalam acara sekolah. Insya-ALLAH saya akan berbincang dengan pihak pentadbiran sekolah untuk menjadikan ia sebagai sukaneka sekolah,” ujarnya.
Sementara itu, Guru Pendidikan Jasmani SK Kanchong Tengah, Shamsulfazli Abdul Malek berkata, murid-murid diberi latihan fizikal sebagai persediaan menghadapi acara sukan rakyat di Karnival Karangkraf.
Shamsulfazli memaklumkan, walaupun persediaan yang diberikan hanya latihan stamina, senaman dan larian tetapi ia cukup untuk membantu anak didiknya bersedia.
“Saya ada maklumkan kepada murid-murid bahawa aktiviti disertai pada hari ini, lain daripada yang lain kerana ia sukan ibu bapa mereka pada zaman dahulu.
“Mengetahui hal itu, mereka benar-benar teruja, bersemangat dan tidak sabar untuk memberikan yang terbaik,” katanya.
Tambahnya, beliau turut berharap agar penganjur untuk mempelbagaikan lagi acara sukan tradisional di Karnival Rakyat Karangkraf pada masa akan datang.
Karnival Rakyat Karangkraf berlangsung selama tiga hari bermula 26 Julai hingga 28 Julai di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15.