Tiada masalah gantung pakaian di dalam tandas
JIKA tiada keperluan, kita pasti tidak akan menjejaki tandas. Maklum sahajalah, itu tempat kita mengqadakan hajat, selain membersihkan kekotoran pada badan.
Malah, ramai yang tahu bahawa tandas itu menjadi tempat berkumpulnya syaitan. Sebab itulah tiada siapa yang terfikir untuk ‘berkurung’ lama di dalamnya.
Namun begitu, adakalanya tempat yang basah seperti itu menjadi pilihan untuk kita menjemur pakaian atau tuala basah buat sementara.
Bolehkah kita menggantung dan meninggalkan pakaian atau tuala basah di dalam tandas? Bukan apa, bimbang pula terjadi sesuatu kepada barang yang ditinggalkan itu kerana sifat tandas yang kotor dan dihuni oleh makhluk ALLAH yang terkutuk itu.
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa tandas merupakan tempat tinggal syaitan lebih-lebih lagi ia sinonim dengan ruang yang dikaitkan dengan kekotoran dan najis.
“Ketika Imam An-Nawawi membahaskan tentang hadis larangan menunaikan solat di dalam tandas, antara sebabnya adalah kerana ia merupakan tempat tinggal syaitan.
“Oleh itu, manusia tidak sepatutnya berlama-lama di dalamnya kecuali dalam kadar yang diperlukan bagi menunaikan hajat (buang air) tersebut,” katanya dipetik daripada artikel #2942: Gantung Pakaian dalam Tandas menerusi laman web Maktabah Albakri.
Disebabkan itu setiap kali memasuki tandas, Dr Zulkifli menjelaskan, kita diajar untuk mengucapkan ‘Aku berlindung kepada ALLAH daripada syaitan jantan dan syaitan betina’ sepertimana yang dinyatakan dalam hadis riwayat Abu Daud.
Meskipun tandas merupakan tempat tinggal syaitan, jelas agamawan itu, tiada masalah untuk kita meninggalkan dan menggantungkan pakaian basah di dalamnya.
“Ini kerana tiada larangan dalam hal tersebut. Jadi, ia kembali kepada hukum asalnya iaitu diharuskan.
“Ia bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut ‘Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman perkara tersebut’,” katanya.
Beliau turut berhujah dengan pandangan mantan Mufti Mesir, Dr Ali Jumu’ah ketika diajukan persoalan tentang meninggalkan pakaian di dalam tandas.
Katanya, Dr Ali Jumu’ah mengatakan, tidak ada kaitan antara bilik mandi (tandas), najis dan meninggalkan pakaian di dalam tandas. Beliau menegaskan lagi bahawa hukumnya adalah tidak makruh.
Ulama itu berkata lagi, tiada kesahihan dalam desas-desus yang berlegar-legar dalam kalangan orang ramai tentang perkara tersebut.
“Dr Ali Jumu’ah kemudian bertanya kembali ‘dari mana asal perkataan ini?’ Beliau menekankan, banyak pernyataan semacam itu yang tersebar dan tidak memiliki dasar kebenaran serta menjelaskan bahawa meninggalkan pakaian di dalam tandas atau bilik mandi yang berada di dalam rumah adalah tidak mengapa sama sekali.
“Kemudian beliau menegaskan, pakaian yang diharamkan untuk dipakai ialah pakaian yang terkena najis,” terangnya panjang lebar.
Justeru Dr Zulkifli menegaskan, menggantung atau meninggalkan pakaian di dalam tandas tiada kaitan sama sekali dengan saranan dan perintah agar manusia tidak berlama-lama di dalamnya yang merupakan tempat tinggal syaitan.
“Ia merujuk kepada manusia itu sendiri agar mereka tidak diganggu oleh syaitan. Apatah lagi tandas merupakan tempat terdedahnya aurat dan tidak disebutkan nama ALLAH.
“Atas dasar itu, kita diperintahkan untuk memohon perlindungan kepada ALLAH daripada mereka sebelum memasuki tandas. Adapun menggantung atau meninggalkan pakaian di dalamnya tiada kaitannya sama sekali dalam hal ini.
“Bahkan, ia sekadar dakwaan dan cerita yang tersebar dalam kalangan orang ramai semata-mata serta tiada *dalil* yang menyokong mahupun mengesahkannya,” jelasnya.