Kanak-kanak tiga tahun maut ditikam bapa saudara

Lokasi kejadian mangsa maut dipercayai ditikam di dada oleh bapa saudaranya tengah hari tadi. (Gambar kecil: Hanyan Ramlan)
Lokasi kejadian mangsa maut dipercayai ditikam di dada oleh bapa saudaranya tengah hari tadi. (Gambar kecil: Hanyan Ramlan)
A
A
A

KEMAMAN- "Ketika di pangkuan saya, dia sudah terlalu lemah dan pernafasan tercungap-cungap," kata datuk kepada kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang maut dipercayai ditikam bapa saudaranya dalam kejadian Felda Cherul 2, Chukai di sini tengahari tadi.

Ramli Abu Bakar, 62, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, dia berada di kebun di belakang rumah sebelum terdengar suasana riuh rendah dari dalam rumah termasuk terdengar jeritan mangsa seperti dalam kesakitan lalu bergegas pulang.

Katanya, sebaik tiba di pintu rumah, dia melihat mangsa terbaring dengan berlumuran darah di dada manakala anak lelakinya yang berusia 26 tahun berada berhampiran kanak-kanak malang itu.

Menurut Ramli, anaknya dalam keadaan terpinga-pinga sambil memegang sebilah pisau pemotong sayur yang dipenuhi darah.

"Tanpa berlengah saya terus mendapatkan cucu dan memangkunya selain memberi kata-kata semangat supaya dia bertahan sebelum memanggil jiran meminta bantuan.

"Saya juga memangkunya ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Cheneh Baru dan dia masih bernyawa," katanya.

Ramli berkata, sebaik tiba di klinik berkenaan doktor mengesahkan cucu saya sudah tiada," katanya dalam nada sebak ketika ditemui di pekarangan rumahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian yang dibuat oleh di Balai Polis Chukai, di sini kira-kira jam 2.23 petang tadi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja dan juga bapa saudara mangsa sudah ditahan dan siasatan awal mendapati suspek itu memiliki dua rekod jenayah lampau di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya (ADB).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.