Taktik isi minyak awal Subuh berjaya dihidu KPDNHEP

Keadaan jenis Proton Iswara telah diubah suai untuk tujuan meletakkan tong di bahagian dalam dan belakang tempat penyimpanan barang.
Keadaan jenis Proton Iswara telah diubah suai untuk tujuan meletakkan tong di bahagian dalam dan belakang tempat penyimpanan barang.
A
A
A

TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan mengesan taktik licik sekumpulan individu mengisi minyak pada waktu Subuh bagi mengelak aktiviti penyeludupan minyak petrol ke negara jiran dikesan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, melalui risikan dan pemantauan pada jam 5 pagi tadi, pihaknya mendapati empat kenderaan mengisi minyak di pam di stesen Bukit Bunga dalam keadaan meragukan sebelum berjaya menahan sebuah kenderaan dalam serbuan terbabit.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Proton Iswara itu mendapati suspek yang melarikan diri telah membuat pengisian bahan bakar iaitu minyak petrol Ron95 sebanyak 229.491 liter.

"Suspek yang berjaya melarikan diri disyaki membuat pengisian untuk diseludup ke negara jiran. Tindakan juga diambil ke atas pemilik stesen kerana didapati tidak mematuhi arahan Pengawal Bekalan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, seramai lima pegawai cawangan dan enam pegawai dari Kota Bharu terlibat dalam operasi tersebut.

Mengulas lanjut katanya, berdasarkan siasatan pihaknya, suspek meletakkan satu tangki yang diubah suai pada bahagian hadapan dan belakang penumpang, termasuklah di bahagian belakang penyimpanan barang dalam kenderaan yang ditahan itu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, pihaknya berjaya menahan sebuah van Nissan Vanete dipenuhi dengan sembilan tong 'jerry can' dipercayai bahan api dalam satu operasi pada jam 9 pagi di daerah ini.

Penahanan tersebut adalah disebabkan oleh pemilik van yang tidak mempunyai permit membeli yang sah atau mendapat kebenaran daripada Pengawal Bekalan KPDNHEP.

Artikel Berkaitan:

Sembilan tong 'jerry can' ditemui dalam van tersebut.
Sembilan tong 'jerry can' ditemui dalam van tersebut.

"Hasil pemantauan dan risikan, kita dapati van tersebut sedang membuat pengisian dalam keadaan meragukan dan hasil serbuan, kita dapati minyak diesel dalam kuantiti 298.17 liter dipenuhkan dalam sembilan tong tersebut.

"Ia juga berdasarkan resit belian yang telah dibuat," katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.