Polis Kelantan tidak terima aduan budak hilang di Thailand

Tular kanak-kanak dipercayai warga Malaysia yang didakwa ditemui di sebuah stesen minyak Palas di Pattani, Thailand semalam.
Tular kanak-kanak dipercayai warga Malaysia yang didakwa ditemui di sebuah stesen minyak Palas di Pattani, Thailand semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak seperti yang tular menerusi media sosial mendakwa seorang kanak-kanak lelaki dipercayai warganegara Malaysia ditemui di sebuah stesen minyak di Palas, Pattani Thailand semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, pihaknya sedia maklum berhubung penularan itu namun tidak dapat dipastikan kesahihannya berikutan kanak-kanak yang didakwa ditemui tersebut tidak diserahkan kepada polis di negeri ini.

“Kebiasaannya apabila berlaku kes sebegini, pihak berkuasa negara (Thailand) akan berhubung dengan kedutaan atau polis di negara jiran yang terdekat dan setakat ini kami belum dihubungi pihak berkenaan.

“Polis Kelantan ketika ini juga tidak menerima apa-apa laporan kanak-kanak hilang yang boleh dikaitkan dengan penularan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, lokasi yang dikatakan kanak-kanak itu ditemui di Pattani berada berdekatan dengan Kelantan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan adalah pelancong Malaysia yang mengunjungi negara itu.

“Kami meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan supaya berhubung di balai-balai polis berhampiran.

“Sekiranya ada anak-anak yang hilang segera membuat laporan bagi memudahkan siasatan,” katanya.

Semalam, tular di media sosial gambar polis Thailand bersama seorang kanak-kanak lelaki didakwa rakyat negara ini ditemui di sebuah stesen minyak Palas di Pattani, Thailand, pada jam 5.30 petang waktu tempatan.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak tersebut yang berbaju T kuning dan berseluar sukan berwarna gelap ditemui dalam keadaan selamat.