Seni potongan kertas tradisional Cina

Nina bersama anaknya menunjukkan hasil seni potongan kertas tradisional Cina yang dihasilkan.
Nina bersama anaknya menunjukkan hasil seni potongan kertas tradisional Cina yang dihasilkan.
A
A
A

SETIAP perayaan mempunyai pelbagai bentuk kesenian tersendiri bagi mewarnai kemeriahan sambutan selain menjadi lambang identiti serta budaya sesuatu kaum.

Antaranya seni potongan kertas tradisional Cina atau Jianzhi yang kebiasaannya menjadi dekorasi bagi menghiasi kediaman sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Meskipun demikian, keunikan seni itu tidak terbatas kepada kaum Cina sahaja sebaliknya turut diminati oleh orang Melayu dan India di negara ini.

Bagi seorang suri rumah, Nina Abdullah, 55, pelbagai bentuk kraf bermotifkan haiwan dan bunga dapat dihasilkan melalui seni tersebut.

"Walaupun saya orang Melayu tetapi saya tidak janggal untuk mendalami seni potongan kertas tradisional Cina ini. Inilah keharmonian rakyat berbilang kaum.

“Bukan semata-mata untuk jual sebaliknya saya gembira apabila hasil seni saya diterima baik terutama daripada orang Cina sendiri.

“Mereka memberi reaksi terkejut dan tidak sangka melihat orang Melayu meminati seni budaya mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Hasil seni potongan kertas tradisional Cina yang dihasilkan memberi kepuasan kepada Nina.
Hasil seni potongan kertas tradisional Cina yang dihasilkan memberi kepuasan kepada Nina.

Nina menamatkan perkhidmatan sebagai setiausaha sebuah syarikat perladangan selepas 21 tahun bekerja bagi memberi perhatian penuh terhadap keluarga.

Menurutnya, masa terluang diisi dengan mendalami seni potongan kertas tradisional itu secara serius sejak enam bulan lalu.

“Ia nampak mudah tetapi memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana menggunakan gunting serta pisau.

“Saya juga buat promosi melalui laman sosial media dan pernah menyertai program jualan di pasar raya sempena Tahun Baru Cina,” katanya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, motif bunga paling mendapat sambutan selain tikus kerana tahun ini adalah tahun tikus.

"Ada juga kesenian berasaskan perkataan tuah dan kaya. Setakat ini sudah lebih 50 keping terjual dengan harga antara RM10 hingga RM25 sekeping,” katanya.

Seni potongan kertas Cina bermula pada era Dinasti Han yang diletakkan di pintu atau tingkap rumah ketika Tahun Baru Cina sebagai lambang tuah serta kebahagiaan.

Pada 2009, seni tersebut telah disenaraikan sebagai warisan budaya dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).