Pasang wayang pacak siar istiadat pertabalan Agong - Fahmi

Fahmi bercakap sesi bersama media di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama
Fahmi bercakap sesi bersama media di Bangunan Parlimen pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah ‘wayang pacak’ akan dipasang di semua 222 kawasan Parlimen pada 20 Julai ini bagi menayangkan siaran secara langsung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 berkata, inisiatif yang dikelolakan Jabatan Penerangan bersama badan sukarela Komuniti Madani itu juga akan menampilkan beberapa acara sampingan untuk masyarakat.

"Senarai lokasi di setiap kawasan Parlimen akan diumumkan awal minggu depan. Kita buat wayang pacak supaya masyarakat boleh hadir beramai-ramai untuk menyaksikan istiadat penuh adat dan tradisi itu, selain kita juga akan menyediakan aktiviti lain seperti pameran, sesi penerangan dan lain-lain.

"Kita mahukan seluruh Malaysia dapat bersama-sama meraikan acara penting ini di samping menunjukkan keunikan Institusi Raja Berperlembagaan supaya semua lapisan masyarakat dapat menghayati keistimewaan yang hanya terdapat di Malaysia,” katanya pada sesi bersama media di Bangunan Parlimen di sini.

Fahmi berkata, selain sebagai langkah memperluaskan liputan siaran istiadat pertabalan itu, wayang pacak berkenaan juga membuka ruang untuk rakyat memahami konsep Institusi Raja Berperlembagaan.

"Berdasarkan pengalaman kita ketika jelajah 'Kembara Kenali Borneo' oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, rakyat amat dekat dengan institusi raja.

Beliau berkata, pada hari istiadat pertabalan itu nanti, Kementerian Komunikasi bersama agensi di bawahnya serta agensi media tempatan akan memastikan liputan media dan siaran langsung dilaksanakan dengan baik dan secara besar-besaran.

Fahmi berkata, ia turut melibatkan siaran langsung dan 'live feed' di platform media sosial untuk memudahkan seluruh rakyat termasuk yang menetap di luar negara menyaksikan acara bersejarah itu.

Artikel Berkaitan:

"Ini acara (istiadat pertabalan) yang unik di dunia, Malaysia antara negara yang mengekalkan proses pelantikan dan pemilihan ketua negara, ia sistem penggiliran yang sangat unik. Ini peluang rakyat Malaysia untuk menyaksikan sendiri nanti,” katanya.

Fahmi berkata, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah serta Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa berkenaan untuk berangkat ke istiadat itu dan Sultan Ibrahim juga berkenan menjemput bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong untuk hadir.

Acara-acara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan bermula pada 18 Julai ini dengan majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Negara, diikuti Khutbah Jumaat khas yang memberikan penjelasan serta peringatan kepada umat Islam mengenai kepentingan Institusi Raja Berperlembagaan pada 19 Julai.

Masjid di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang tiada Raja atau Sultan akan menggunakan teks khutbah berkenaan, manakala negeri lain tertakluk pada perkenan Raja atau Sultan masing-masing.

Pada malam 20 Julai, akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara.

Sementara itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai, sementara Pameran Raja Kita di Muzium Negara diadakan pada 25 Julai sebelum acara-acara sempena Istiadat Pertabalan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja di Istana Negara pada 27 Julai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!