Tiga maut motosikal bergesel sesama sendiri

Ahli keluarga dan kenalan mangsa menunggu di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ahli keluarga dan kenalan mangsa menunggu di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Tiga maut dalam satu kemalangan jalanraya membabitkan lima kenderaan motosikal di Kilometer 201 arah barat ke Maran Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), malam tadi.

Dalam kejadian antara jam 9.00 dan 9.30 malam itu, mangsa yang maut ialah kontraktor, Azlee Mat Daud, 39; pekerja bengkel besi, Muhammad Amirul Faris Abdullah, 25 dan pekerja am, Syamil Nazir, 32.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Barat ke Maran melalui LPT.

"Kejadian dipercayai berpunca apabila lima buah motosikal yang ditunggang kesemua mangsa telah bergesel sesama sendiri lalu terjatuh di lorong laju menyebabkan tiga daripadanya maut dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

"Ketika kejadian cuaca dilaporkan baik manakala keadaan lalulintas di lokasi kejadian adalah lancar. Kesemua mangsa dipercayai berkonvoi ke daerah Kuantan untuk bercuti, makan dan bersiar-siar berdasarkan siasatan menerusi Facebook dan mangsa-mangsa yang terlibat," katanya ketika ditemui di HTAA di sini, sebentar tadi.

Dua mangsa yang cedera ialah, kontraktor, Mohd Issham Sulaiman, 39, dan Mohd Firdaus Shamsudin, 37.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut kelihatan di bilik forensik HTAA ialah Adun Kuala Sentul Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang hadir menziarahi keluarga mangsa.

Shahaniza berkata, Allahyarham Azlee merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Kemap yang sangat aktif menjalankan program-program kemasyarakatan setempat.

Artikel Berkaitan:

"Pemergian beliau satu kehilangan besar buat UMNO Bahagian Maran kerana beliau sangat baik dengan saya dan saya sangat terkejut dengan berita ini.

"Bahkan keluarga kesemua mangsa juga saya kenal secara dekat. Arwah Muhammad Amirul bakal berkahwin Mac nanti dan saya difahamkan persediaan sudah dibuat kedua dua belah keluarga," katanya.

No Image Caption