Pemimpin Hamas tolak perjanjian abad ini

Ismael Haniyya pada satu majlis yang diadakan sempena lawatan pertamanya ke Malaysia bermula awal minggu ini. - Foto: Bernama
Ismael Haniyya pada satu majlis yang diadakan sempena lawatan pertamanya ke Malaysia bermula awal minggu ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemimpin Hamas, Ismael Haniyya berkata, pergerakan politik itu tidak akan menerima pelan damai Timur Tengah yang dijangka diumumkan menjelang lawatan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan ketua politik saingannya, Benny Gantz ke Rumah Putih minggu depan.

Haniyya berkata, Hamas sebaliknya akan meneruskan perjuangannya meraih kemerdekaan dan kebebasan Palestin dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara menerusi kerjasama dengan rakan antarabangsa.

"Saya beri anda jaminan kami tidak akan menerima perjanjian abad ini dan akan terus bekerja dengan rakan antarabangsa untuk mengetepikan perjanjian ini.

"Perjuangan kami akan diteruskan sehingga kami meraih kebebasan dan menguruskan negara berdaulat kami sendiri dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara dan banduan Palestin dibebaskan dari penjara Israel serta dapat hidup dengan bermaruah," kata bekas Perdana Menteri itu pada majlis yang diadakan di sini, sempena lawatan pertamanya ke Malaysia bermula awal minggu ini.

Haniyya berkata, perjanjian itu yang mempunyai beberapa sasaran termasuk menyelesaikan isu Palestin dan pelbagai elemen penting turut menjejaskan hak enam juta pelarian Palestin untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Bagi tanah Palestin di Tebing Barat, perjanjian ini memberi perlindungan politik penuh kepada pentadbiran Israel bagi merampas lebih banyak tanah dari Tebing Barat dan memperluaskan penempatannya sehingga ke tahap lebih 40 peratus Tebing Barat akan dirampas oleh Israel," katanya.

Sementara itu beliau berkata, penduduk di Semenanjung Gaza pula akan berdepan tiga tahap tekanan di bawah sekatan Israel, pengasingan politik, serangan tentera dan sekatan ekonomi yang sudah memasuki tahun ke-13 berturut-turut, yang mencetuskan banyak kemusnahan di Semenanjung Gaza dan masyarakat di situ.

Berhubung pencabulan berterusan oleh Israel ke atas hak asasi penduduk Palestin, Haniyya berkata, Hamas menetapkan empat keutamaan termasuk menyatukan rakyat Palestin menerusi permuafakatan Hamas dan Fatah serta mencapai perpaduan kebangsaan antara Tebing Barat dan Gaza.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha mencapai perkara ini, kami di Hamas memberi banyak konsesi dengan harapan dapat membentuk sebuah kerajaan kebangsaan, majlis legislatif dan agenda kebangsaan. Malangnya kami masih gagal mencapai sasaran penting ini disebabkan keengganan rakan dan sahabat kami di Fatah untuk mencari kata sepakat dalam permuafakatan kebangsaan ini," katanya.

Beliau berkata, keutamaan lain termasuk mengukuhkan kewujudan dan kesetiaan rakyat Palestin di wilayah Palestin dengan menyediakan keperluan asas untuk menangani perjuangan mereka, menaik taraf komunikasi dan meningkatkan koordinasi dengan jiran Arab serta negara lain, selain meneruskan perjuangan dan penentangan mereka terhadap pendudukan Israel menggunakan pelbagai kaedah.

"Saya merayu masyarakat dunia tampil menghulurkan bantuan kepada rakyat kami bagi menangani penindasan Israel. Kami mahu mengekalkan hubungan baik dengan jiran kami dan lain-lain. Strateginya adalah dengan kekal berfikiran terbuka dan sedia berbincang dengan sesiapa saja. Bagaimanapun bagi kami, garis merah adalah berbincang dengan Israel," katanya.

Haniyya yang dijadual pulang dari Malaysia esok, mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata, sewaktu pertemuannya dengan Dr Mahathir pada Rabu, mereka mencapai banyak hasil dalam beberapa bidang termasuk isu dua hala, perkembangan politik rakyat Palestin, isu kemanusiaan yang dihadapi rakyat Palestin akibat sekatan Israel di Semenanjung Gaza dan wilayah Tebing Barat yang diduduki serta kaedah terbaik untuk bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil Malaysia. - Bernama