Melaka teroka sumber air baharu tangani isu gangguan bekalan

Adly (tengah) bergambar bersama ahli keluarga ahli perniagaan di negeri ini, Chen Chuan (tiga dari kanan) ketika hadir pada rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Putra Height, Pengkalan Batu hari ini. - Foto: Bernama
Adly (tengah) bergambar bersama ahli keluarga ahli perniagaan di negeri ini, Chen Chuan (tiga dari kanan) ketika hadir pada rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina 2020 di Putra Height, Pengkalan Batu hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka kini sedang meneroka sumber air baharu bagi menampung keperluan bekalan yang semakin menyusut berikutan keadaan cuaca panas dan kering melanda negara ketika ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia termasuk memanfaatkan air mentah dari Sungai Linggi di Alor Gajah dekat sini dan kajian terperinci bersama Badan Kawal Selia Air (BKSA) sedang dilakukan agar ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Ketika ini, air Sungai Linggi mengalir ke laut sahaja dan ia tidak dimanfaatkan, daripada kita membiarkannya, lebih baik kita gunakan sepenuhnya untuk keperluan rakyat. Ini adalah antara inisiatif yang kita akan lakukan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Pengarah Urusan Oriental Food Industries Holdings Berhad, Datuk Seri Son Chen Chuan sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Adly berkata, selain itu, kerajaan negeri turut mengambil pendekatan jangka pendek melalui jalinan kerjasama ketika berhadapan krisis air dengan mendapatkan bantuan sumber air terawat dari negeri jiran iaitu Negeri Sembilan dan Johor.

​​​"Kita akan sentiasa bekerjasama dengan negeri lain, bukanlah mengharapkan mereka tetapi saling bantu-membantu. Jika kita pulih daripada masalah ini, kita pula akan bantu negeri lain, begitu juga sebaliknya kerana ada negeri tidak mengalami masalah itu berikutan mempunyai takungan air yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Adly menasihatkan orang ramai supaya melakukan persediaan awal dengan menyimpan air secukupnya bagi menghadapi catuan bekalan air Rabu ini.

​​​"Selain itu, penduduk yang terjejas juga diharap berjimat dalam penggunaan air seharian terutama ketika catuan dilaksanakan kelak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Khamis lepas, Adly dilaporkan berkata, Melaka akan melaksanakan catuan bekalan air secara harian bermula 29 Januari ini melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk di negeri ini.

Adly dipetik sebagai berkata, ia bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini, bagaimanapun catuan itu tidak melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan. - Bernama