PRK Sungai Bakap: Pas ucap terima kasih pada akar umbi UMNO
SUNGAI BAKAP - Pas mengucapkan terima kasih kepada akar umbi UMNO di sebalik kemenangan yang berpihak kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kemenangan dengan majoriti yang lebih besar itu menunjukkan signal bahawa akar umbi UMNO telah menolak normalisasi mereka bersama DAP.
"Kita juga tak nafikan nak ucap terima kasih banyak-banyak terutama kepada akar umbi UMNO, itu jelas maknanya signal yang dihantarkan oleh akar umbi UMNO bahawa mereka tidak boleh terima normalisasi bersama-sama DAP pada hari ini.
"Yang keduanya juga dari kalangan pimpinan DAP perlu ingat kamu bercakap soal integriti, kemampuan sedangkan gagal untuk menguruskan terutama masalah yang kecil iaitu isu air di DUN Sungai Bakap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir meraikan calon PN, Abidin Ismail atau digelar Abang Abidin yang diumumkan menang kerusi N20 Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi pada Sabtu.
Jelas Idris, propaganda Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan status pembangkang tidak berupaya membantu menyelesaikan masalah penduduk bagaimanapun gagal menghalang pengundi untuk terus menyokong PN.
"Walaupun manifesto kamu (PH) sebut pilih Abang Abidin tak boleh buat apa tetapi dia boleh menyuarakan suara rakyat.
"Nak beritahu kepada tuan-tuan sudah tiga penggal diwakili oleh PKR iaitu parti komponen Pakatan Rakyat sebelumnya yang sealiran dengan kerajaan negeri, kenapa benda itu (air) tidak dapat selesaikan?,"soalnya.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, keputusan PRK Sungai Bakap merupakan memorandum rakyat yang dihantar secara jelas kepada kepimpinan perdana menteri di Putrajaya dan DAP di Pulau Pinang.
"Yang paling menarik sekali ialah di kawasan Parlimen Nibong Tebal ini diwakili menteri pendidikan dan saya difahamkan juga dua Exco di kawasan ini, Jawi dan juga Sungai Acheh, tiba-tiba rakyat boleh memilih insan yang kerdil ini.
"Dalam pertarungan ini, kami anggap kami sebagai kerdil, boleh tengok bilik gerakan kami yang amat sedih tapi kami mempunyai semangat dan jati diri, maka mampu menghasilkan apa yang kita tengok pada hari ini, rakyat memilih Abang Abidin dalam PRK," katanya.
Menurut Idris, bukti jelas itu dapat dilihat apabila simulasi dilakukan pihak PN memberi jangkaan dapat mengekalkan kerusi dengan majoriti antara 2,000 hingga 2,400 undi namun lonjakan itu meningkat sehingga 4,267 undi.
“Kita juga dapat lihat dua daerah mengundi iaitu Sungai Bakap dan Puteri Gunung yang dulunya kita kalah, namun (PRN) kali ini ada yang menang, Sungai Bakap kita peroleh majoriti 145 undi kalau dulunya kita kalah 642 undi.
"Bagi Puteri Gunung pula, meskipun mereka (PH) menang tapi jumlahnya hanya 369 undi berbanding 2,094 undi pada PRN lalu...ertinya rakyat membuat satu kebangkitan untuk tengok politik Malaysia ini politik baharu, bukan politik menipu,” katanya.
Dalam keputusan PRK Sungai Bakap, Abidin berjaya mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 14,489 undi, menewaskan pencabarnya Dr Joohari Ariffin (PH) yang meraih 10,222 undi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!