AMK bantah tindakan pecat tujuh ahli

Mohd Nazree (lima dari kiri) bersama ahli AMK Pusat membuat laporan kepada ROS berhubung isu Kongres Nasional AMK dan pemecatan tujuh ahli majlis pimpinan parti itu hari ini.
Mohd Nazree (lima dari kiri) bersama ahli AMK Pusat membuat laporan kepada ROS berhubung isu Kongres Nasional AMK dan pemecatan tujuh ahli majlis pimpinan parti itu hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat hari ini membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung insiden kekecohan persidangan Kongres Nasional Angkatan AMK, awal Disember lalu.

Naib Ketuanya, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, pihaknya juga turut menggesa ROS supaya meneliti semula keabsahan pemecatan jawatan tujuh ahli majlis pimpinan parti itu.

“Kami merasa kesal dengan perjalanan Kongres Nasional AMK yang boleh dipertikai dan tidak mencerminkan profesionalisme yang sebenar.

“Kami juga turut membantah perlucutan jawatan tujuh ahli majlis pimpinan parti kerana ia tidak wajar serta tidak melalui proses timbangtara yang sesuai dan demokratik,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, AMK Pusat turut menuntut kongres berkenaan dibatal dan diadakan semula.

“Hari ini (semalam) kami turut melampirkan akuan sumpah, laporan polis dan dokumen berkenaan bagi menerangkan maksud laporan ini dibuat kepada ROS.

“Kami menegaskan bahawa Kongres Nasional AMK 2019 perlu diadakan semula atas bukti-bukti yang telah disertakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nazree turut menggesa kepimpinan tertinggi parti untuk mengukuhkan muafakat kepimpinan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan atau usaha perlucutan jawatan serta pemecatan anggota tidak akan memberikan makna kepada proses tersebut.

“Kami juga memberikan sokongan dan menyatakan solidariti kepada Naib Presiden (Zuraida Kamaruddin) berhubung isu surat tunjuk sebab yang dikemukakan kepadanya, sekali gus menolak sebarang usaha untuk melucutkan jawatan atau keanggotaan beliau,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaKini melaporkan tujuh ahli terbabit dipecat berdasarkan surat dikeluarkan yang mana keputusan menetapkan ahli majlis pimpinan AMK yang tidak hadir mesyuarat sebanyak enam kali berturut-turut tanpa alasan memuaskan dianggap sudah meletakkan jawatan.

Tujuh ahli itu ialah Nagarajan Kaniappan, Ahmad Khairul Mohamed Noor, Mohd Akmal Hisyam Ahmad Tamyiz, Mohd Firdaus Yusoff, Mohd Izad Buqhary Mohd Kamri, Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman dan Wan Mohamad Fitri Wan Abdul Rahim.