Peniaga kedai runcit disamun lelaki bawa parang

Gambar hiasan Gambar kecil: Baharudin
Gambar hiasan Gambar kecil: Baharudin
A
A
A

DUNGUN - Seorang peniaga kedai runcit berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang panjang dalam kejadian di kedai runcit miliknya di Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini petang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika wanita berusia 47 tahun itu berseorangan di kedai runcitnya sebelum didatangi sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, salah seorang daripada lelaki itu terus masuk ke dalam kedai runcit manakala seorang lagi menunggu di atas motosikal.

Katanya, suspek yang menutup muka menggunakan kain dan hanya memakai baju sejuk serta kain pelikat terus menghampiri mangsa yang ketika itu berada di kaunter pembayaran.

"Suspek yang membawa beg sandang meletakkan sebilah parang panjangnya lebih kurang 60 sentimeter di atas kaunter dan hanya menyebut 'duit-duit' sebelum mangsa yang dalam ketakutan menyerahkan semua wang yang ada di dalam mesin di kaunter," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Baharudin berkata, suspek memasukkan semua wang itu ke dalam beg sandang lalu melarikan diri bersama rakannya yang sedia menunggu di atas motosikal.

"Akibat kejadian itu, mangsa terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM300 sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

"Kini, polis masih memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata," katanya.

Artikel Berkaitan: