Peniaga letak syarat beli gula bawa padah

Sebuah premis perniagaan di Hutan Kampung dikenakan tindakan kerana mengenakan syarat bagi pembelian gula pasir kasar terhadap pelanggan pada Rabu.
Sebuah premis perniagaan di Hutan Kampung dikenakan tindakan kerana mengenakan syarat bagi pembelian gula pasir kasar terhadap pelanggan pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah premis perniagaan di Hutan Kampung, di sini dikenakan tindakan kerana mengenakan syarat bagi pembelian gula pasir kasar terhadap pelanggan pada Rabu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, sepasukan pegawai penguatkuasa melakukan pemeriksaan lebih kurang jam 11 pagi di premis terlibat hasil aduan orang awam.

Katanya, salah seorang pegawai penguatkuasa menyamar sebagai pembeli dengan berpakaian preman di premis berkenaan untuk membeli gula pasir kasar berharga RM2.85 sekilogram.

"Premis itu mengenakan syarat pelanggan perlu membeli satu kilogram (kg) gula putih premium berharga RM4.60 bagi setiap pembelian dua kilogram gula pasir kasar berharga RM2.85.

"Sehubungan itu, peniaga tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengenakan syarat tanpa kebenaran Pengawal Bekalan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau menambah, pegawai penguat kuasa seterusnya bertindak menyita 10 kg gula pasir kasar dan 14 kg gula pasir premium dengan nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM64.40.

Menurut Affendi lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 19 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Sekiranya disabitkan dengan kesalahan, mana-mana orang perseorangan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali

"Bagi kesalahan kedua, mana-mana orang perseorangan ini boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Pertubuhan perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan yang kedua jika sabit kesalahan," katanya.

Ujar beliau lagi, KPDN Kedah memberi amaran kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang dikuatkuasakan.

"Peniaga diingatkan supaya tidak mengenakan apa-apa syarat bagi pembelian barang kawalan dan tidak menyorok barang kawalan bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Orang ramai diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Pejabat KPDN dengan menyalurkan sebarang salah laku peniaga melalui saluran-saluran berkaitan.

"Antaranya, aplikasi WhatsApp 019-848 8000 dan 019-279 4317, Pejabat KPDN Kedah 04-7001745, portal e-aduan 2.0 http://eaduan.kpdn.gov.my, call centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my,plikasi EZ ADU KPDN serta Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-88826088/6245," katanya.