AS sedia dedah pelan damai Israel-Palestin

Rumah Putih -Foto AFP
Rumah Putih -Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) mungkin mendedahkan pelan damai Timur Tengah yang ditunggu-tunggu selama ini menjelang lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu minggu depan, lapor agensi berita Anadolu memetik Presiden Donald Trump semalam.

Terdahulu, Rumah Putih berkata, Presiden mempelawa Netanyahu dan saingan politiknya, Benny Gantz untuk melawat Washington, di tengah-tengah laporan mengatakan pelan damai Trump akan didedahkan.

Trump berkata, beliau percaya pelan damai itu boleh dilaksanakan dan telah berbincang dengan rakyat Palestin 'secara ringkas'.

"Kami telah berbincang dengan mereka secara ringkas.Tetapi kami akan berbincang lagi. Saya yakin mereka mungkin akan bertindak balas secara negatif pada mulanya, tetapi ia sebenarnya sangat positif untuk mereka.

"Ia satu pelan yang baik. Satu pelan yang benar-benar berkesan," katanya.

Channel 12 Israel berkata, rancangan Trump akan mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas hampir semua penempatan di Tebing Barat yang diduduki. Penempatan itu menyalahi undang-undang antarabangsa.

Ia akan meluaskan lagi sempadan Israel yang diiktiraf AS ke timur wilayah Palestin dan kedaulatan rejim Zionis itu di seluruh Baitulmaqdis.

Pelan itu juga dilaporkan hanya akan mengiktiraf negara Palestin yang bebas kemudiannya, tetapi pegawai Palestin tidak mungkin menerimanya. Channel 12 melaporkan ia turut menuntut pelucutan senjata oleh Hamas dan Palestin mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Artikel Berkaitan:

Jika pelan itu didedahkan minggu depan, ia berlaku di tengah-tengah Trump sedang menghadapi perbicaraan mengenai pemecatannya dan Netanyahu berdepan pertuduhan rasuah. - Bernama