Curahkan kasih sayang kepada semua makhluk

SEBARKAN kasih sayang sesama makhluk atas nama ALLAH. -Gambar hiasan
SEBARKAN kasih sayang sesama makhluk atas nama ALLAH. -Gambar hiasan
A
A
A

PERASAN atau tidak, kita bebas menghirup udara untuk meneruskan kehidupan di muka bumi ini. Meskipun apa yang dihirup tidak kelihatan, namun ia wujud untuk dikongsi dengan seluruh makhluk di dunia ini. Itulah antara nikmat yang dikurniakan ALLAH SWT kepada setiap makhluk-NYA.

ALLAH SWT berfirman: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?” (Surah ar-Rahman, ayat 13)

Ketahuilah bahawa ayat tersebut diulang sebanyak 31 kali dalam surah berkenaan. Ia menunjukkan kebesaran ALLAH yang MAHA BERKUASA, MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG memberikan nikmat kepada hamba-NYA.

Demikian kata Penasihat Rumah Ngaji, Ustaz Safri Muhammad Zein ketika bertadabbur Surah ar-Rahman ayat 1 hingga 5 sempena kempen Uninstall Kebencian, Reboot Harmoni yang menjadi tema World #QuranHour 1441H/2020 di pejabat Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

USTAZ SAFRI
USTAZ SAFRI

Ujar beliau, antara nikmat yang paling agung dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada umat Islam ialah al-Quran al-Karim.

“ALLAH SWT menamakan ar-Rahman pada surah ke-55 dan ia merupakan nama kedua dalam Asmaul Husna. Apabila orang kafir bertanya apa itu ar-Rahman, maka ALLAH menjawab secara langsung pertanyaan tersebut dalam surah berkenaan.

“Bahkan, perkataan ar-Rahman disebut sebanyak 160 kali dalam al-Quran. Ia ada kaitan dengan ar-Rahim sebagaimana kita selalu sebut ketika mengucapkan Bismillahirrahmanirrahim (Dengan nama ALLAH yang MAHA PENGASIH dan MAHA PENYAYANG).

Artikel Berkaitan:

Menurut para ulama tafsir, ar-Rahman adalah nikmat yang diberikan kepada semua makhluk di bumi. Sementara, ar-Rahim pula diberikan khusus kepada golongan yang beriman kepada ALLAH SWT,” katanya berkongsi ilmu.

Pada zaman teknologi ini, tambah Ustaz Safri, kita menghadapi krisis dan keruntuhan akhlak manusia. Untuk memulihkannya, kita perlu kembali kepada al-Quran agar menjadi manusia saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain.

Untuk mencapai nikmat ar-Rahman dan ar-Rahim, jelas beliau, kita perlu bertadabbur isi kandungan al-Quran. ALLAH SWT menciptakan manusia boleh bertutur. Namun, ucapan yang diinginkan daripada setiap hamba-hamba-NYA adalah kata-kata yang baik, menyejukkan hati dan mempunyai nilai kasih sayang.

“Apabila memahami Surah ar-Rahman, kita akan sentiasa mencurahkan kasih sayang sesama makhluk. Kita semua adalah ciptaan ALLAH, tiada lebih atau kurang dalam kalangan kita kecuali ketakwaan di sisi ALLAH SWT,” ujar beliau.