KKM sahkan empat pesakit bebas jangkitan koronavirus

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seorang pesakit yang dirawat di wad isolasi di sebuah hospital di Sabah negatif jangkitan wabak koronavirus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu disahkan menerusi keputusan ujian pengesanan dan pengesahan virus 2019-nCoV yang dijalankan ke atas kes yang disyaki itu oleh pihak Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Gejala yang dialami oleh pesakit adalah disebabkan jangkitan influenza A. Pesakit beransur pulih dan berada dalam keadaan stabil," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pesakit itu antara empat yang disyaki dijangkiti koronavirus selepas Pusat Kesiapsagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) menerima kesemua kes itu dan pesakit dimasukkan ke wad pengasingan bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut.

KKM dalam satu kenyataan petang tadi memaklumkan ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik tiga orang pesakit didapati negatif bagi jangkitan koronavirus.

Terdahulu, dilaporkan China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan susulan penularan wabak koronavirus yang telah mengakibatkan sembilan maut manakala lebih 400 orang dijangkiti virus itu setakat ini.

Menurut Dr Noor Hisham, Pertubuhan Kesihatan Sedunia WHO menggesa negara anggotanya untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di negara masing-masing bagi menghadapi potensi penularan 2019-nCoV.

Sehubungan itu, KKM telah bersiap siaga dengan mengeluarkan tatacara perubatan virus itu bagi tujuan rujukan selain bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuhkan aktiviti saringan di semua pintu masuk antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes yang disyaki dirujuk serta dikendalikan dengan memenuhi langkah pencegahan dan kawalan infeksi dan sebanyak 26 hospital KKM seluruh negara telah dikenal pasti bagi mengendalikan kes yang disyaki (dijangkiti virus tersebut)," katanya.

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF

Menurutnya, sampel pesakit akan menjalani ujian pengesanan, dinotifikasi dengan segera kepada pihak kesihatan, seterusnya dimaklumkan kepada pasukan kesihatan bagi tindakan di peringkat daerah serta memastikan simpanan stok ubat-ubatan mencukupi.

Beliau juga menyarankan orang ramai yang ingin ke Wuhan, China untuk menangguh perjalanan mereka berikutan wabak yang melanda negara itu ketika ini.

“Sekiranya tujuan lawatan mereka ke negara itu atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan, mereka diingatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan khususnya semasa berada di Wuhan dan selepas pulang ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah pencegahan yang perlu diambil adalah sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).

"Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu dan elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai dan bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala.

"Selain itu, elakkan melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan dan elakkan memakan sebarang produk haiwan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna," katanya.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan untuk segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan dan maklumkan mengenai sejarah perjalanan berkenaan kepada doktor yang merawat.