Singapura sahkan kes pertama jangkitan koronavirus

Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP
A
A
A

SINGAPURA - Seorang warga China disahkan positif koronavirus baru, 2019-nCoV di Singapura, menurut laporan The Straits Times hari ini.

Kementerian Kesihatan memaklumkan penduduk Wuhan berusia 66 tahun terbabit dilaporkan tiba di negara tersebut pada Isnin lalu dan menginap di Shangri-La's Rasa Sentosa resort.

Anak lelakinya berusia 37 tahun juga disyaki dijangkiti virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) tersebut manakala ahli kumpulan lawatan tersebut dikuarantin dan dipantau selama dua minggu.

Selain itu, ujian awal ke atas seorang wanita berumur 53 tahun menunjukkan dia juga positif virus, namun masih menunggu pengesahan.

Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan virus tersebut merebak kepada individu lain di Singapura.

Difahamkan, jumlah kes jangkitan 2019-nCoV terbabit dilaporkan meningkat di Singapura selepas pemeriksaan suhu dilakukan terhadap pelancong dari China.

Menurut kementerian itu lagi, terdapat 28 kes disyaki melibatkan individu berumur 12 bulan hingga 78 tahun termasuk tujuh daripadanya disahkan bebas jangkitan koronavirus itu.

"Segala langkah diambil untuk mengekang penularan virus itu. Kes pertama jangkitan itu diasingkan dan ia tidak lagi mendatangkan risiko kepada orang ramai," kata Pengarah Penyakit Berjangkit di kementerian itu, Profesor Madya Vernon Lee. - Agensi

Artikel Berkaitan: