Polis sahkan rangka manusia ditemui di kebun durian

Rangka manusia ditemui di dalam kebun durian tepi Jalan Yong Peng- Muar pada Isnin.
Rangka manusia ditemui di dalam kebun durian tepi Jalan Yong Peng- Muar pada Isnin.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis mengesahkan satu rangka manusia ditemui di kawasan semak di dalam kebun durian di tepi Jalan Yong Peng-Muar, berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, dekat sini, pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, maklumat mengenai penemuan rangka manusia itu diterima daripada orang awam pada jam 11.15 pagi.

Beliau menjelaskan, sama ada rangka terbabit milik Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu, hanya akan diketahui selepas laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dijangka diperoleh daripada Jabatan Kimia, minggu hadapan.

"Siasatan awal polis di tempat kejadian telah menjumpai sebuah motosikal bersama dokumen diri dan barangan peribadi.

"Kesan kerosakan pada motosikal tersebut dipercayai berpunca dari kemalangan jalan raya yang berkemungkinan telah menyebabkan mangsa meninggal dunia.

"Motosikal yang ditunggang oleh mangsa disyaki telah terbabas ke tepi jalan dan terlanggar sebatang tiang elektrik menyebabkan mangsa terhumban di kawasan semak yang agak curam di dalam kebun durian berkenaan," katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Menurut beliau, setakat ini dokumen dan barangan yang dijumpai di tempat kejadian telah dibuat pengecaman oleh keluarga sebagai milik mangsa yang dilaporkan hilang sejak 26 Mei lalu.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Bahagian Siasatan Jenayah turut menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan polis.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Batu Pahat di talian 07-4343999," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!