WHO sambung mesyuarat wabak virus korona

Virus korona
Virus korona
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyambung mesyuarat tergemparnya sehingga hari ini dalam menentukan sama ada wabak virus korona baharu di China boleh dianggap darurat kesihatan global seperti yang terkandung dalam Amaran Darurat Kesihatan Antarabangsa (PHEIC), lapor agensi berita Xinhua.

"Perbincangan berjalan dengan baik semasa mesyuarat hari ini, kami memerlukan lebih banyak maklumat," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup Jawatankuasa Darurat.

"Atas sebab itu, saya telah meminta Jawatankuasa Darurat bertemu lagi esok untuk menyambung perbincangan," tambah Tedros.

ARTIKEL BERKAITAN: Wabak virus korona: Angka kematian cecah 17 orang

"Keputusan mengenai sama ada mengisytiharkan darurat kesihatan global atau tidak, kebimbangan antarabangsa merupakan satu perkara yang saya pandang serius, dan bersedia membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan semua bukti yang ada," ujar beliau.

Tedros berkata, beliau kagum dengan maklumat terperinci yang disampaikan pihak China berhubung wabak itu.

Beliau turut menghargai kerjasama Ketua Suruhanjaya Kesihatan Negara China, Ma Xiaowe.

Kerjasama kepimpinan China sangat bermakna, kata ketua WHO itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: