X

Kindly register in order to view this article
!

SWM Environment sedia 108 lori kompaktor sempena Tahun Baru Cina

Al'Ashari (tengah) Nicole (kiri) dan Teo Kok Seong (tiga dari kiri) semasa melihat kerja-kerja pembersihan pekerja SWM Environment hari ini.
A
A

SEREMBAN - SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) bersiap siaga dengan 108 jentera lori kompaktor bersama 1,008 anggota yang akan bertugas pada hari pertama cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Pengurus Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, SWM Environment Sdn Bhd, Dr Al’Ashari Othman berkata, persiapan ini penting bagi memastikan kutipan sisa pepejal berjalan lancar dan persekitaran bersih.

“SWM Environment juga memastikan 55 lori terbuka atau lori Roll On Roll Off (RoRo) berada dalam keadaan baik untuk melakukan kutipan sampah bagi tong-tong komunal yang ditempatkan di lokasi yang ditetapkan bagi memudahkan orang ramai melupuskan sisa pepejal,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui semasa membuat tinjauan di Kampung Baru Mambau dekat sini hari ini.

Hadir sama Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan dan ADUN Mambau, Yap Yew Weng.

Al’Ashari berkata, strategi ini telah dirancang dengan teratur teliti setiap tahun dan penambahbaikan sentiasa dilakukan bagi memastikan perkhidmatan SWM Environment berada di tahap optimum dan produktiviti yang maksimum.

Beliau berkata, SWM Environment juga memastikan pada hari kedua perayaan, seramai 255 anggota akan bekerja dengan kekuatan aset berjumlah 12 lori kompaktor dan tujuh lori RoRo akan ditempatkan di lokasi mengikut jadual yang ditetapkan.

"Selain itu, kita juga turut memberi tumpuan di 29 lokasi rumah pangsa yang mempunyai penduduk kaum Cina ramai bagi memastikan sampah diuruskan dengan baik," katanya.

SWM Environment juga memastikan tempat-tempat tumpuan pelancong seperti pantai Port Dickson dan taman-taman rekreasi di Negeri Sembilan yang di bawah perkhidmatan pihaknya mempunyai anggota bertugas dan aset jentera sokongan memandangkan cuti perayaan jatuh pada hujung minggu.