JPJ Perak keluar 1,349 notis saman Op Tahun Baru Cina

Severinus melakukan pemeriksaan ke atas motosikal sempena Ops Khas Motosikal yang dijalankan di Meru Raya malam tadi.
Severinus melakukan pemeriksaan ke atas motosikal sempena Ops Khas Motosikal yang dijalankan di Meru Raya malam tadi.
A
A
A

IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengesan 1,349 kesalahan pengguna jalan raya hasil pemeriksaan ke atas 3,573 kenderaan bagi tempoh empat hari operasi Tahun Baru Cina sehingga Selasa lalu.

Pengarahnya, Severinus Tukah berkata, antara kesalahan tertinggi dikesan adalah 531 berkaitan Lesen Kenderaan Bermotor atau insurans, 386 kesalahan berkaitan pemandu tidak memiliki lesen dan 210 mengenai pelbagai kesalahan teknikal.

“Sebanyak 1,319 notis dan saman pula telah dikeluarkan dengan kesalahan utama membabitkan tiada cukai jalan dan tiada lesen memandu," katanya pada sidang media sempena Ops Khas Motosikal di Meru Raya malam tadi.

Menurutnya, bagi tempoh dua hari operasi khas motosikal, sebanyak 1,483 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu 632 telah diambil tindakan membabitkan 814 jenis kesalahan.

"Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut mengesan 18 individu positif dadah melalui operasi dan sekatan jalan raya yang dijalankan bersama di beberapa lokasi di negeri ini," katanya.

Severinus berkata, penguatkuasaan JPJ Perak bagi operasi Tahun Baru Cina ini adalah melibatkan kawasan zon rondaan Lebuhraya Utara Selatan sepanjang 224 kilometer dari Slim River ke Alor Pongsu, Jalan Persekutuan membabitkan 1,516 kilometer dan Jalan Negeri 25,005 kilometer.

Severinus memeriksaan kenderaan sempena Ops Khas Motosikal yang dijalankan di Meru Raya malam tadi.
Severinus memeriksaan kenderaan sempena Ops Khas Motosikal yang dijalankan di Meru Raya malam tadi.

"Operasi ini membabitkan 431 anggota secara keseluruhan dan berakhir 2 Februari depan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan melipatgandakan penguatkuasaan di semua laluan utama terutama di kawasan tumpuan kemalangan bagi mengelak berlakunya insiden dan kesesakan lalu lintas," katanya.

Sementara itu beliau berkata, dalam operasi sehingga jam 10 malam tadi, sebanyak 550 kenderaan diperiksa dan 183 daripadanya telah dikenakan tindakan.

Katanya, sebanyak 255 notis dan saman dikeluarkan dan tiga motosikal telah disita selepas didapati tiada cukai jalan dan tiada lesen memandu.

"Operasi malam ini membabitkan 264 anggota penguatkuasa termasuk AADK, polis, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Alam Sekitar,” katanya.