‘Ada yang tidak kena dalam pengurusan ekonomi’ - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ada perkara tidak jelas sedang berlaku dalam pengurusan ekonomi negara yang akan memberi impak negatif dalam jangka panjang terhadap daya saing ekonomi Malaysia dan kemakmuran hidup rakyat.

Beliau mendakwa sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih pentadbiran negara, hampir tidak ada satu pun berita baik tentang ekonomi negara yang diraikan oleh rakyat dan komuniti perniagaan di Malaysia.

Menurutnya, nilai ringgit merudum, pertumbuhan ekonomi merosot, cukai dinaikkan, subsidi ditarik balik, harga barang meningkat, kos sara hidup rakyat bertambah dan kos menjalankan perniagaan turut meningkat.

“Ketika saya menjadi Perdana Menteri pada zaman pandemik, kerajaan bukan sahaja melihat kebajikan rakyat tetapi soal kelangsungan perniagaan. Adalah menjadi dasar kerajaan pada waktu itu untuk memulihkan perniagaan melalui pelbagai bentuk bantuan dan insentif.

“Ini kerana kita tahu kepentingan perniagaan dan industri dalam memacu ekonomi negara, menyediakan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia yang merudum ke tangga ke-34.

Beliau berkata, data-data yang dibentangkan oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) dalam laporan itu jelas menunjukkan bahawa Malaysia tidak berada pada landasan ekonomi yang betul.

Tambah Ahli Parlimen Pagoh itu, kedudukan daya saing negara merosot dalam semua bidang yang diukur, kecuali infrastruktur.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia mengalami penurunan ketara dalam sub-sektor ekonomi domestik, turun 19 anak tangga ke kedudukan ke-35 dan dalam produktiviti dan kecekapan, jatuh 17 anak tangga ke kedudukan ke-53.

“Lebih membimbangkan, kecekapan perniagaan di Malaysia, merosot daripada kedudukan ke-24 semasa pandemik Covid-19 melanda negara kepada kedudukan ke-40 tahun ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kurang daripada AS$20,000 skor yang dicatatkan sebanyak 68.13 mata menyebabkan Malaysia tertinggal di belakang Thailand (72.51) dan Indonesia (71.52).

Katanya, buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking daya saing dunia.

“Ini adalah suatu fakta yang pahit untuk diterima kerana Malaysia sebelum ini pernah digelar sebagai Harimau Asia dengan kedudukan ekonominya yang kukuh dan berdaya saing,” jelasnya.

Justeru, Muhyiddin menegaskan Ahli Parlimen Tambun itu sepatutnya menjadi lebih tawaduk dan tidak menyombong apabila melihat prestasi Malaysia dalam ranking daya saing dunia adalah lebih baik pada zaman pandemik iaitu di tangga ke-27 pada tahun 2020 dan tangga ke-25 pada tahun 2021.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!