Empat keldai akaun ditahan sebabkan kerugian lebih RM160,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita dipercayai menjadi ‘keldai akaun' kepada beberapa sindiket penipuan dalam talian hingga menyebabkan beberapa mangsa kerugian RM168,605 dalam kejadian di daerah Barat Daya, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua yang berusia 31 hingga 40 tahun ditahan secara berasingan di sekitar Bayan Lepas dan kawasan Balik Pulau serta Ipoh, Perak oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Barat Daya semalam.

"Dalam kes pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan iaitu memperdaya mangsa untuk pinjaman wang tidak wujud secara dalam talian berkait kes di Balik Pulau.

"Berdasarkan siasatan, mangsa iaitu seorang pesara wanita berusia 60 tahun telah membuat 33 transaksi ke dalam beberapa akaun bank termasuk milik suspek membabitkan jumlah keseluruhan RM73,972," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, kes kedua pula membabitkan penahanan seorang wanita berusia 40 tahun dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ sindiket memperdaya mangsa dengan sindiket tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.

Kamarul Rizal berkata, mangsa telah membuat pemindahan wang ke dalam akaun dengan jumlah keseluruhan RM65,779 sebagai bayaran untuk daftar bidaan bagi mendapat bayaran keuntungan dan komisen.

Kes ketiga, katanya melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 31 tahun dipercayai menjadi ‘keldai akaun’ sindiket penipuan iaitu memperdaya tawaran kerja sambilan secara dalam talian tidak wujud hingga mangsa kerugian RM23,274.

"Mangsa telah membuat pemindahan wang ke dalam akaun suspek sebagai bayaran untuk mendapat bayaran keuntungan balik dan komisen. Kes kedua dan ketiga membabitkan sindiket berbeza namun modus operandi hampir sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam kes keempat, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di Ipoh kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ sindiket memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank.

Menurut Kamarul Rizal mangsa iaitu lelaki berusia 38 tahun mendakwa telah dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank memaklumkan terdapat dua transaksi tanpa kebenaran daripada kad kredit mangsa dan telah menyambungkan perbualan kepada pihak lain.

"Mangsa telah berkongsi nombor pin seperti diarahkan dan menyedari terdapat transaksi terhadap penama lain berjumlah RM5,580 sebelum menyedari ditipu dan kemudian membuat laporan polis," katanya.

Keempat-empat individu itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!