Tunggakan gaji pemain: Jangan tawar bulan, bintang

No Image Caption
A
A
A

BEKAS Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menasihatkan pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) tidak mudah menawarkan ‘bulan dan bintang’ kepada pemain bagi mengelak terjebak dengan masalah kewangan.

“Kalau rasa ada kelab yang boleh bayar (gaji pemain) RM60,000 atau RM70,000, pergilah ke situ beramai-ramai. Jangan jadi macam Perlis FA sampai ‘tutup kedai’ manakala Kelantan bagai ‘telur di hujung tanduk’ dan ini adalah satu senario yang tidak sihat kepada bola sepak negara kita.

“Ini adalah contoh buruk kepada sukan dan bukan sahaja kepada bola sepak kecuali pemain kita telah layak ke Piala Dunia atau kelab-kelab dari luar negara berebut untuk mendapatkan pemain kita dengan membayar gaji yang mahal, maka berbaloilah (gaji yang dibayar kepada pemain).

“Tidak perlu berbelanja tinggi mendapatkan pemain jika tidak mampu, kenapa tidak beri peluang kepada pemain muda yang pastinya gaji tidak begitu tinggi. Ada pemain yang minta gaji tinggi tapi prestasi atas padang tidak setanding pun dengan gaji,” katanya.

Dalam pada itu, Zolkples turut berharap kes tunggakan gaji tidak akan berlaku pada masa akan datang jika setiap pasukan mahupun kelab tempatan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik.

Zolkples Embong
Zolkples Embong

Menurutnya, ia akan menjadi satu perbuatan tidak adil kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang berusaha keras memperkenalkan Economic Control Programme (ECP) tetapi ia tidak dimanfaatkan oleh pasukan dalam usaha menangani masalah hutang.

“Jadi bukan sahaja pemain tetapi semua yang terlibat harus cermin diri atau ukur baju di badan sendiri jika kita semua masih mahu hidup lebih lama dalam industri bola sepak.

Artikel Berkaitan:

“Jika tidak berita ini akan terus berada di belakang dada akhbar berkenaan masalah kewangan bola sepak. Bukan tidak ada cerita yang baik tetapi kisah kurang enak lebih banyak mewarnai muka belakang surat khabar,” katanya.

Sebelum ini, MFL membuat keputusan untuk memperkenalkan ECP secara berperingkat bermula musim ini sebelum pelaksanaan menyeluruh dan lebih ketat pada musim 2021.

ECP yang dipraktikkan dalam saingan La Liga, bakal menjadi satu anjakan paradigma bola sepak tempatan dalam usaha mendidik pasukan Liga-M berbelanja lebih berhemah dan bebas hutang membabitkan tunggakan gaji.

Menerusi pelaksanaan ECP, setiap pasukan diwajibkan menghantar pelan perbelanjaan dan pendapatan sebelum dibenarkan untuk mendaftar pemain musim ini.