Mahkamah Persekutuan tetapkan 3 Julai dengar rayuan Sanjeevan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan menetapkan 3 Julai untuk mendengar rayuan bekas aktivis antijenayah, R.Sri Sanjeevan terhadap penolakan keputusan yang mengisytiharkan penahanan 16 harinya di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sebagai menyalahi undang-undang.

Peguam Sanjeevan, S.Preakas ketika dihubungi mengesahkan tarikh perbicaraan itu susulan pengurusan kes yang dijalankan hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Nurul Azuin Mohd Talhah.

Pada 20 Februari lepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti memberikan kebenaran kepada Sanjeevan sebagai pemohon untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengetepikan samannya.

Sri Sanjevaan, 39, menyaman pegawai penyiasat ASP Poonnam E Keling; Ketua Polis Negara (KPN) dan Kerajaan Malaysia selepas mendakwa ditahan secara salah oleh Poonnam selama 16 hari dari 10 hingga 26 Julai 2016.

Bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) itu mendakwa beliau turut diserang, dan beliau menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.

Pada 28 Jun 2022 Mahkamah Tinggi membenarkan saman Sri Sanjeevan bagi pemenjaraan palsu dan mengarahkan ganti rugi dibayar kepadanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache mengarahkan ganti rugi dinilai dalam perbicaraan berasingan pada satu tarikh lain.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu selepas membenarkan rayuan oleh polis dan kerajaan pada Sept tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Sri Sanjeevan ditahan pada 10 Julai 2016 mengikut di bawah POCA kerana didakwa terbabit aktiviti jenayah dan dihadapkan ke Mahkamah Majisret pada hari berikutnya yang mengeluarkan perintah reman selama 21 hari.

Sebelum tamat reman, Sri Sanjeevan memfailkan permohonan habeas corpus atau penahanan salah supaya dibebaskan daripada tahanan.

Beliau dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya pada 26 Julai 2016 disababkan terdapat pelanggaran prosedur mandatori di bawah POCA.

Kerajaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan tetapi kemudian menarik balik rayuan itu.

Sri Sanjeevan pula memfailkan tindakan sivil terhadap polis dan kerajaan kerana pemenjaraan secara salah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!