Hanipah, Vazeer Alam angkat sumpah jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan

Hanipah (kiri) dan Vazeer Alam pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama
Hanipah (kiri) dan Vazeer Alam pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera hari ini mengangkat sumpah jawatan serta taat setia sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Hanipah, 64, dan Vazeer Alam, 62, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada majlis yang berlangsung di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini.

Hanipah, anak kelahiran Besut, Terengganu dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 27 April 2018 dan pernah mengetuai panel tiga hakim mendengar rayuan Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama dalam kes rasuah projek solar hibrid.

Beliau juga mengetuai panel tiga hakim dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas selain mendengar rayuan kes-kes jenayah.

Vazeer Alam, yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Ogos 2019, pula mengetuai panel tiga hakim bagi rayuan kes rasuah bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan.

Turut mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ialah tiga Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Su Tiang Joo, 64, serta Alexander Siew How Wai dan Amelati Parnell, kedua-duanya berusia 57 tahun.

Su Tiang Joo pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama
Su Tiang Joo pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama

Tiang Joo mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Akhtar Tahir manakala Alexander dan Amelati mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Artikel Berkaitan:

Tiang Joo, yang dilahirkan di Muar, Johor dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada 1 September 2020 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Februari 2023.

Alexander, anak kelahiran Sandakan, Sabah pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak pada 10 Julai 2020.

Alexander Siew How Wai pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini.
--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Alexander Siew How Wai pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau telah membuat keputusan bersejarah berhubung pelaksanaan Undi18 selepas membenarkan semakan kehakiman lima belia yang memohon agar pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur minimum mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dikuatkuasakan segera.

Sementara itu, Amelati yang merupakan anak kelahiran Sarawak memulakan kerjaya sebagai Majistret di Kuching pada 1990 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Sibu, Sarawak pada 2007.

Amelati Anak Parnell pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama
Amelati Anak Parnell pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama

Beliau kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah pada 2021 sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Bintulu, Sarawak pada 1 Januari 2024. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28