Jangan politikkan isu program penerangan kewarganegaraan – Saifuddin

Saifuddin Nasution (tengah) pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat secara medan dan posthumous di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pada Jumaat. Foto Bernama
Saifuddin Nasution (tengah) pada sidang media selepas majlis pemakaian pangkat secara medan dan posthumous di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pihak diminta tidak mempolitikkan sebarang program taklimat dan penerangan kewarganegaraan dianjurkan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu kewarganegaraan bukan satu perkara baharu, sebaliknya telah berlaku sewaktu beliau menjadi wakil rakyat.

Katanya, beliau pernah menjadi wakil rakyat beberapa penggal dan banyak pusat khidmat DUN tidak kiralah kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarganegaraan.

"Antaranya membabitkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara atau ibu bapa berkahwin di luar negara.

"Untuk itu, janganlah isu kewarganegaraan ini diputar belit sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi warganegara secara borong," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat selepas majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Hadir sama Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Azmi Abu Kassim.

Saifuddin turut meminta semua pihak memberi ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas sesuai dengan tujuan mereka dilantik termasuk menyelesaikan isu kewarganegaraan.

Ujarnya, beliau banyak menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima pelbagai aduan mengenai masalah kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, kata Saifuddin, kawasan Ahli Parlimen itu berdekatan dengan sempadan Thailand, maka banyak kes kahwin dengan warga luar.

"Jadi apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih," ujarnya.

Pada 8 Jun lalu, majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dun Stulang yang dijadualkan 30 Jun depan, dilaporkan ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang juga Setiausaha DAP Johor dilaporkan berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.

Bagaimanapun katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.

Terdahulu, poster program berkenaan tular media sosial mendapat kecaman dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.

Malah, ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat penganjuran acara berkenaan.

Pemuda UMNO Johor turut mendesak program anjuran Andrew itu dibatalkan serta merta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!