Maklumat disebarkan itu adalah fitnah - Peguam keluarga Zayn Rayyan

Fahmi
Fahmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin akan membuat laporan polis berhubung penyebaran siasatan berkaitan kes pembunuhan di media sosial kononnya dilakukan ibu bapa kanak-kanak autisme itu.

Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, maklumat yang disebarkan itu adalah fitnah.

"Ya, pihak keluarga mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Saya cadang kepada mereka, buat laporan berkenaan hari ini," katanya selepas dihubungi pada Jumaat.

Sebentar tadi, Sinar Harian melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat penyebaran kertas siasatan kes kematian Zayn Rayyan, 6, di aplikasi Telegram.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak yang menyebarkan kertas siasatan tersebut boleh diambil tindakan kerana kes terbabit kini di peringkat mahkamah.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis akan mengemukakan permohonan kepada SKMM untuk menurunkan tangkap layar yang tular di media sosial sejak Khamis.

Katanya, polis juga akan menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tangkap layar berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang tersebut, ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Pada Khamis, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan telah mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.

Beberapa jam selepas dilepaskan dengan ikat jamin, penyebar maklumat dikenali 'Edisi Siasat' mendedahkan informasi kononnya ia ialah hasil keterangan membabitkan pasangan suami isteri tersebut, di sepanjang reman berlangsung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!